malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kini hanya polis, SPRM mampu rungkai isu RM90 juta'
Diterbitkan:  Feb 4, 2019 1:28 PM
Dikemaskini: 5:32 AM
ADS

Setelah penyelesaian luar mahkamah antara PAS dan Sarawak Report, satu-satunya cara untuk mengetahui kebenaran berkenaan dakwaan sumbangan RM90 juta Umno kepada parti itu ialah melalui siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wartawan veteran A Kadir Jasin berkata demikian ketika mengulas langkah PAS dua hari lalu yang disifatkannya sebagai "tanpa disangka".

"Pencerahan dan penyelesaian mutakhir kepada isu derma RM90 juta ini hanya boleh dicapai jika SPRM dan Polis Diraja Malaysia membuka fail siasatan.

"(Ia) jika mereka belum berbuat demikian," katanya menerusi artikel terbaru di blognya, hari ini.

Dalam penyelesaian itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik tuntutan terhadap Sarawak Report manakala editor laman itu Clare Rewcastle Brown menarik balik tuntutan balasnya.

Selain itu, tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma-terma berkaitan penyelesaian itu.

Pada 13 Mac 2017 - ketika negara masih ditadbir BN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika Paul Low berkata SPRM tidak meneliti dakwaan sumbangan RM90 juta kepada PAS itu atas sebab "maklumat diterima tidak jelas dan tiada unsur-unsur yang membolehkan siasatan dibuat".

Pada 10 Oktober lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya sedia menyiasat dakwaan sumbangan Umno kepada PAS, tetapi ia merujuk kepada wang RM2.5 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tetapi beliau berkata polis hanya akan berbuat demikian jika ada pihak yang membuat laporan.

Susulan itu, Hadi berkata dakwaan itu hanyalah bertujuan memburukkan PAS dan parti itu sentiasa sedia untuk disiasat.

Dalam pada itu, Kadir yang juga penasihat media perdana menteri itu mendakwa langkah PAS itu mungkin bagi mengelakkan "hujah-hujah sensasi" Clare di mahkamah yang merugikan PAS.

"Sebelum PRU lalu keperluan mempertahankan imej PAS amat penting. Sekarang PRU sudah berlalu... Jadi maruah dan air muka tidak sepenting dulu lagi.

"Sebaliknya risiko fakta sebenar mengenai derma RM90 juta itu terdedah semakin tinggi kerana Umno-BN tidak lagi berkuasa, justeru tidak lagi boleh membantu PAS menyembunyikan hal sebenar," dakwanya lagi.

Lihat Komen