Pengerusi The Edge Media Group Tan Kooi Ong dilaporkan memberi hadiah sebanyak RM8.2 juta (AS$2 juta) kepada bekas eksekutif PetroSaudi Xavier Andre Justo atas bantuannya dalam mendedahkan dakwaan salah laku dalam 1MDB.
Menurut laporan The Edge Markets hari ini, Tong berkata ia sebagai penghargaan atas "sumbangannya kepada Malaysia dengan membantu mendedahkan kleptokrasi kerajaan dulu".
"Tanpanya, salah laku melibatkan 1MD, seperti yang didedahkan The Edge, tidak akan diketahui umum.
"Keluarganya diganggu dan diancam ketika dia dipenjara. Tiada siapa yang perlu melalui apa yang dilaluinya kerana membantu mendedahkan kebenaran," katanya seperti dipetik.
Hukuman itu selepas beliau ditahan di Thailand pada Jun 2015 atas dakwaan mengugut, apabila memberikan maklumat berkaitan urus niaga 1MDB dengan Petrosaudi kepada The Edge dan Sarawak Report.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun tetapi dibebaskan selepas 18 bulan selepas diberi pengampunan diraja oleh Raja Maha Vajiralongkorn dari Thailand.
Tong berkata Justo telah mengesahkan kepadanya bahawa tuduhan beliau mencuri maklumat sebagai tidak benar.
"Peguam saya telah cuba menghubung Petrosaudi berhubung dakwaan mereka sebelum ini dan mereka memilih untuk tidak memberi maklum balas," katanya seperti dipetik.
Justo yang hadir ke pejabat The Edge Media Group hari ini bersama-sama isteri dan anak lelakinya, mengucapkan terima kasih kepada Tong atas hadiah itu.
"Ini pasti akan banyak membantu saya dan keluarga untuk membina semula hidup kami...Penderitaan saya tidak sia-sia. Rakyat Malaysia dapat mengetahui kebenaran (tentang 1MDB) dan saya akhirnya bebas kembali," katanya seperti dipetik.
Pada 2016, Justo memfailkan saman terhadap Tong dan dua pihak lagi di Mahkamah Tinggi Singapura, dan mendakwa dia tidak pernah menerima AS2 juta yang dijanjikan Tong, sebagai balasan terhadap data yang diserahkannya.
Dalam saman itu, Justo menuntut data itu dipulangkan dan salinannya dimusnahkan.
Tong menafikan dakwaan Justo dan berkata beliau tidak berhak terhadap data itu kerana "dilaporkan secara meluas mengaku telah mencurinya daripada Petrosaudi".
Tong juga menafikan telah menawar pembayaran agar Justo menyerahkan data tersebut.
Difahamkan saman itu akhirnya diselesaikan di luar mahkamah.