malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penipuan ECRL untuk tutup penipuan 1MDB - Jomo
ADS

Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) merupakan 'projek penipuan' untuk menutup skandal 1MDB, kata pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

"Penipuan ECRL dan penipuan dua pipeline gas (saluran paip) adalah untuk tutup penipuan 1MDB," katanya pada sesi dialog dengan pihak media di Kuala Lumpur hari ini.

Jomo berkata, sebagai anggota majlis penasihat kerajaan, beliau tahu projek landasan keretapi laju yang disokong oleh China itu "memang teruk".

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai pertimbangan untuk melakukan diplomasi dan kerugian yang ditanggung.

ECRL sekali lagi menjadi tajuk utama selepas kerajaan dilaporkan sedang merancang untuk membatalkan projek berkenaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata negara ini akan 'menjadi miskin' jika projek itu diteruskan.

Mahathir juga berkata pampasan yang akan dibayar untuk membatalkan projek itu jauh lebih rendah berbanding hutang yang akan ditanggung negara jika projek itu berjalan.

Pengkritik ECRL mendakwa projek bernilai RM55 bilion yang diilham ketika pentabiran Najib Razak itu merupakan sebahagian daripada rancangan untuk menyelamat dan menutup kerugian 1MDB.

Najib dan Beijing bagaimanapun menafikan spekulasi tersebut.

Sementara itu, Jomo juga menangkis tanggapan bahawa pembatalan ECRL akan menghalang pembangunan di kawasan pantai timur.

"Ini helah dari pihak tertentu untuk selamatkan projek (ECRL)," katanya kepada pemberita selepas dialog itu.

Katanya, terdapat perkara lain perlu dibangunkan di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Kelantan seperti bekalan air, sanitasi (kawalan kebersihan awam) dan sistem mitigasi banjir.

Jomo berkata, kerajaan juga harus diberi ruang untuk menangani isu ECRL kerana banyak pertimbangan harus dibuat mengenainya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen