malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP, pegawai kanan perlu isytihar semua harta, gesa TI-M
ADS

Butiran pengisytiharan harta yang dibuat MP Pakatan Harapan tidak memuaskan, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Akhbar Satar.

Bagaimanapun, beliau berkata ia permulaan yang baik apabila perdana menteri Malaysia mengisytiharkan asetnya buat kali pertama.

Bercakap pada satu persidangan untuk mengumumkan kedudukan Malaysia pada Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 di Kuala Lumpur, Akhbar Satar berkata pengisytiharan aset lengkap yang dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang merupakan satu contoh yang baik untuk diteladani oleh kerajaan persekutuan.

"Rakyat tidak gembira kerana laman web (pengistiharan harta) hanya menunjukkan jumlah aset dan gaji mereka. Mungkin ini adalah langkah pertama dan kami harap ia dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

"Kita perlu mengikuti jejak langkah Pulau Pinang yang baik, wakil rakyat di sana mengisytiharkan aset penuh mereka di laman web. Apa yang mereka nyatakan bukan sahaja elaun atau gaji, mereka meletakkan semua dokumen itu," kata Akhbar.

Pulau Pinang membuat pengisytiharan harta pertama pada tahun 2011 melibatkan semua exco kerajaan negeri. Pada tahun 2013, kerajaan negeri memutuskan semua wakil rakyat perlu mengisytiharkan aset mereka, termasuk harga rumah, kenderaan, pelaburan, simpanan deposit tetap mereka.

"Tetapi, pada masa ini, saya cukup berbangga untuk mengatakan bahawa selepas menunggu selama bertahun-tahun, ini adalah kali pertama perdana menteri, menteri dan ahli politik mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM," katanya lagi.

Beliau menjelaskan SPRM, sebagai pakar dalam menyiasat kes-kes rasuah, mungkin berpeluang untuk melihat petunjuk ketika melihat pengisytiharan aset anggota parlimen.

Menurut laman web SPRM, terdapat sembilan anggota parlimen Pakatan Harapan yang belum mengisytiharkan aset mereka seperti yang dijanjikan oleh kerajaan baru.

Akhbar mendesak sembilan anggota parlimen berkenaan untuk mengisytiharkan harta mereka sebagai janji pilihan raya Pakatan Harapan secepat mungkin.

Rakyat pintar

"Kepada ahli parlimen Pakatan Harapan yang belum mengisytiharkan aset mereka, ini janji dalam manifesto anda, tetapi anda sendiri tidak patuh. Kemungkinan anda menang lagi pada pilihan raya akan datang boleh dipersoalkan. 

"Rakyat kini pintar, malah penduduk kampung mempunyai telefon pintar dan mereka tahu hak mereka. Kami harap sembilan anggota parlimen ini (akan isytihar harta). "

"Mungkin terdapat beberapa sebab yang anda tidak mahu mengisytiharkannya. Pertama, anda mempunyai terlalu banyak wang dan kedua anda tidak pasti yang mana milik anda dan yang mana bukan," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan pengisytiharan harta kepada anggota parlimen termasuk dari pembangkang dan untuk pemimpin tertinggi jabatan kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM.

Dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan hari ini, Malaysia sekali lagi mengumpulkan 47 mata, tetapi berganjak ke tempat ke 61 dari 180 negara.

Kedudukan ini meletakkan Malaysia di tangga ketiga di kalangan negara-negara Asia Tenggara, di belakang Singapura dan Brunei.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen