malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dadah dalam coli, polis cekup lelaki
Diterbitkan:  Jan 29, 2019 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM
ADS

Sejumlah coli berisi ketamin yang dipercayai untuk diedar kepada keldai dadah bagi pasaran tempatan dan antarabangsa dirampas apabila polis menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Prima Pelangi di Kuala Lumpur, Sabtu lepas.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan dalam serbuan polis di rumah berkenaan yang dipercayai dijadikan tempat untuk ‘memasukkan’ bungkusan dadah jenis ketamin itu ke dalam coli.

"Selain dadah ketamin yang dianggar bernilai RM125,000, polis turut merampas tiga pistol angin serta mesin jahit yang dipercayai diguna untuk menjahit semula coli yang telah diisi dengan paket dadah itu,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim.

Bercakap pada sidang akhbar di ibu negara hari ini, beliau berkata siasatan polis mendapati lelaki terbabit menjalankan kegiatan itu sejak enam bulan lepas di rumah yang disewanya itu.

Polis masih menyiasat sama ada lelaki terbabit bergerak berseorangan atau merupakan anggota mana-mana sindiket dadah, katanya.

Jual pistol depan hotel

Mazlan berkata lelaki itu direman tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sementara itu, seorang lelaki ditahan ketika cuba membuat urus niaga untuk menjual pistol jenis Revolver .38 kepada orang awam di hadapan sebuah hotel di Jalan Ipoh di sini, Jumaat lepas.

Mazlan berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan dalam operasi polis pada pukul 12.30 tengah malam hasil maklumat orang awam.

Ketika ditahan lelaki terbabit tidak membawa pistol yang ingin dijualnya itu dan berikutan itu polis menyerbu sebuah rumah di Taman Dato Senu di Sentul dan menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38 Special I bersama lima butir peluru .38 dan dua butir peluru 9mm, katanya.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai rekod jenayah melibatkan pemerasan, pergaduhan dan penyalahgunaan dadah itu direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

- Bernama

Lihat Komen