malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bomba sasar masa bertindak kurang 10 minit
Diterbitkan:  Jan 28, 2019 1:23 PM
Dikemaskini: 6:49 AM
ADS

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan untuk mencapai 48.5 peratus kadar menepati “masa bertindak” kurang dari sepuluh minit bagi tahun ini.

Standard masa bertindak yang ditetapkan JBPM ialah kurang dari 10 minit, diukur dari masa menerima panggilan sehinggalah tiba di tempat kejadian.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) itu ditingkatkan berbanding sasaran 48 peratus pada tahun lalu.

Menurut Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, bagi tahun 2018, Kuala Lumpur berjaya mencapai masa bertindak 58 peratus, melebihi sasaran tahun berkenaan.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah antara negeri terbaik dalam pencapaian masa bertindak iaitu 58 peratus,” katanya dalam sidang media selepas Perbarisan Tahunan 2019 JBPM Kuala Lumpur di Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah.

Bagaimanapun, kata Nordin, beberapa cabaran harus dihadapi oleh pasukan bomba Kuala Lumpur yang mungkin tidak banyak dihadapi oleh pasukan bomba dari negeri lain.

Antaranya ialah masa bertindak vertikal yang melibatkan masa tindakan dalam memadamkan kebakaran di bangunan-bangunan tinggi.

“Bukan hanya masa bertindak horizontal iaitu ukuran masa ke tempat kejadian tapi juga vertikal, memandangkan di Kuala Lumpur ada bangunan pencakar langit yang tinggi,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa JBPM sedang mengkaji cabaran baru yang perlu dihadapi oleh pasukan bomba di Kuala Lumpur iaitu kebakaran bawah tanah.

“Kebakaran bawah tanah ini melibatkan rantaian laluan Transit Aliran Massa ( MRT) dan rel bawah tanah.

“Biarpun masih baru, cabaran baru ini sedang dilihat dan dikaji secara menyeluruh oleh pasukan bomba Kuala Lumpur, “ tambah Nordin lagi.

Perbarisan tahunan tersebut melibatkan penglibatan wakil dari semua 18 balai bomba di seluruh Kuala Lumpur.

Turut berlangsung dalam majlis sama ialah penyempurnaan pemakaian tanda pangkat terhadap lima pegawai kanan, serta penyerahan jentera baru iaitu Airial Ladder Platform (AFP) kepada Balai Bomba Hang Tuah.


Lihat Komen