malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Berdepan undi tak percaya, Redzuan nafi idam jawatan tertinggi Bersatu
ADS

Pengerusi Bersatu Melaka Mohd Redzuan Yusof menyangkal dakwaan beliau bercita-cita memegang kedudukan tertinggi parti itu, termasuk jawatan yang kini dipegang Presiden Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata tiada sebarang niat untuk bertanding mana-mana jawatan tertinggi dalam pemilihan parti, yang dijadual diadakan hujung tahun ini, kerana mahu memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai menteri pembangunan usahawan.

"Kesetiaan saya terhadap Mahathir dan Muhyiddin boleh dilihat jelas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun berkata tiada masalah jika parti mahu melantiknya untuk mana-mana jawatan, seperti mana pelantikannya sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan pengerusi Bersatu Melaka sebelum ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Redzuan mendapat undi tidak percaya ketika mesyuarat Bersatu Melaka Jumaat lalu selepas beliau memecat bekas datuk bandar Kuala Lumpur Ruslin Hasan sebagai penyelaras DUN Ayer Limau dan tindakan untuk menggugurkan Nazri Ramli sebagai timbalan pengerusi Bersatu Masjid Tanah.

Sumber dalaman Bersatu berkata Redzuan seorang pemimpin yang memecah-belah dan cuba meraih sokongan Majlis Pimpinan Tertinggi bagi meletakkan dirinya sebagai pengganti Muhyiddin, dan malah kedudukan Mahathir.

Redzuan bagaimanapun mengesahkan ada usaha untuk menyingkirnya melalui undi tidak percaya, namun berpendapat langkah itu bertentangan dengan perlembagaan parti.

"Tiada peruntukan untuk undi tidak percaya (terhadap pengerusi negeri). Mereka tidak dipilih, tetapi dilantik pimpinan tertinggi. Jika ada usaha untuk membuat perubahan struktur, ia boleh melalui pimpinan parti.

"Mereka (yang mahu menyingkirnya) mendakwa membawa mandat rakyat, minta saya letak jawatan, tetapi (mereka) tidak lebih lima orang.

"Saya yakin mereka ada motif tersembunyi menjelang pemilihan parti," katanya lagi.

Redzuan juga menafikan cuba menyingkirkan Nazri daripada jawatan timbalan pengerusi Bersatu Masjid Tanah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata beliau berharap kepimpinan Bersatu Melaka dapat menyelesaikan isu itu melalui perbincangan.

"Melalui perbincangan sesama mereka berbanding mengeluarkan kenyataan media dan saling menuding jari. Bukan ini caranya.

"Saya nasihatkan mereka jangan keluarkan sebarang kenyataan media dan cari jalan terbaik untuk (selesaikan isu) dalaman parti," katanya ketika dihubungi.

Menyifatkan kini bukan masanya untuk berbalah, beliau berkata ibu pejabat parti akan memantau perkembangan perkara itu dan cuba menyelesaikannya secara aman.

[Baca berita asal]

Lihat Komen