Pengiklanan

    Kalah undi Melayu di Cameron: Tumpu dasar untuk semua - TPM

    (Dikemaskini )

    Kemenangan BN di Cameron Highlands yang mendapat sokongan undi Melayu yang mantap tidak menghalang Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada menumpukan kepada soal dasar yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

    Ditanya jika kekalahan pilihan raya kecil memberi petanda pentadbiran Pakatan Harapan perlu memikat sokongan PAS, Wan Azizah menegaskan kerajaan mahu sokongan daripada semua orang.

    "Kita nak semua memberikan kita sokongan. Bukan saja PAS.

    "Tapi kita kan negara majmuk, semua bangsa-bangsa dalam negara kita ini bersama-sama memajukan, memikirkan polisi-polisi untuk semua sama-sama maju membangunkan negara," katanya kepada pemberita pada suatu majlis di Ampang, Selangor malam ini.

    Calon BN, Ramli Mohd Nor mengalahkan calon PH M Manogaran dengan undi majoriti 3,238 undi pada pilihan raya kecil semalam.

    Berbagai analisis menunjukkan dukungan PAS kepada BN menjadi faktor besar kemenangan itu. Gabungan kedua-dua parti itu berjaya mendapatkan undi Melayu di Cameron Highlands.

    Badan pemikir kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) memberi amaran keputusan itu menunjukkan PH perlu menumpukan usaha menarik sokongan pengundi Melayu.

    'PM Mahathir disangka masih BN'

    Bagaimanapun, Wan Azizah percaya salah satu faktor PH kalah kerana terdapat pengundi yang percaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih bersama BN.**

    "Banyak faktor satunya adalah kawasan besar.

    "Adalah satu yang mereka setengahnya kita tak dapat berikan penerangan kerana mereka masih lagi fikirkan perdana menteri masih lagi BN, Tun Dr Mahathir masih lagi BN," katanya.

    Sementara itu, mengulas kenyataan bercanggah yang dikeluarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai status projek kontroversi Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Wan Azizah berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada menteri berkenaan,

    "Saya kebetulan berada di Bangkok masa tu. Jadi saya tak dapat bersama dalam mesyuarat kabinet kali ini.

    "Jadi saya akan tanya kenapa begini jadinya. Sebab ini decision yang besar dan saya kira perlu diberi pertimbangan menyeluruh," katanya.

    [Baca berita penuh]


    **Pejabat TPM menjelaskan Wan Azizah sebenarnya maksudkan terdapat pengundi yang masih tidak sedar PH sudah menjadi kerajaan pusat. - Pengarang

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih