malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PH Kelantan sanggah Syed Saddiq
Diterbitkan:  Jan 27, 2019 5:53 PM
Dikemaskini: 10:44 AM
ADS

Gesaan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya Pakatan Harapan (PH) bermuhasabah diri susulan tewas di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands nampaknya disanggah anak buahnya sendiri.

Sebaliknya Timbalan Ketua Pemuda PH Kelantan, Hazmi Hassan menyifatkan Syed Saddiq sendiri yang perlu muhasabah diri.

"Kata ketua pemuda PH kita perlu banyak bermuhasabah.

"Kata ambo (saya), berapa orang ketua pemuda PH peringkat negeri yang beliau kenal atau jumpa selepas menerima jawatan ketua pemuda PH?" katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Tulisan itu sebagai menjawab gesaan Syed Saddiq yang juga menteri belia dan sukan supaya PH muhasabah diri susulan tewasnya calon mereka di PRK Cameron Highlands, semalam.

Terdahulu Syed Saddiq yang juga ketua pemuda Bersatu menyeru agar pemimpin dan penyokong PH bermuhasabah menghadapi kekalahah itu.

Sila letak jawatan

"Dalam kekalahan, kita perlu banyak bermuhasabah. Jangan salahkan pengundi, salahkan diri sendiri.

"Saya akan bekerja lebih keras untuk anak muda Malaysia. Seperti yang saya janjikan, menang atau kalah, saya tetap akan berkhidmat untuk warga Cameron. Infra sukan luar bandar prioriti saya," katanya.

Sementara itu, Hazmi yang ketua pemuda Amanah Kelantan berkata, melalui PRK antara cara orang politik mengenali jentera bawah.

"Berapa orang YB menteri kenal jentera bawah selepas PRK?

"Jika tidak ada, maaf YB menteri kita tidak perlu bermuhasabah lagi. Kita perlu ketua yang menjaga semua komponen parti. Jika itu berat lagi: Sila letak jawatan, " tegasnya. 

Hazmi juga berkata, beliau kecewa apabila Syed Saddiq tidak menunjukkan komitmen sebagai ketua pemuda PH pusat sepanjang PRK Cameron Highlands.

"Beliau turun ke Ceron Highlands, tetapi tak buat perjumpaan dengan barisan pemuda PH. Tak ada arahan ataubgerak kerja pemuda PH.

"Dia hanya fokus sebagai ketua pemuda Bersatu, bukan pemuda PH. Saya harap beliau berubah dan boleh bagi banyak komitmen pada PRK Semenyih nanti, " katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lihat Komen