malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kenapa skim insurans mySalam pinggir golongan M40?'
Diterbitkan:  Jan 27, 2019 10:54 AM
Dikemaskini: 2:54 AM
ADS

Naib Presiden Umno Khaled Nordin mempersoalkan skim insurans mySalam yang tidak merangkumi golongan berpendapatan sederhana (M40).

Beliau membangkitkan Piagam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1948 PBB yang antara lain menekankan akses sama rata terhadap perkhidmatan kesihatan serta perlindungan risiko kewangan terhadap rakyat.

"Menurut laporan Sistem Pembayaran dan Kestabilan Kewangan 2017 Bank Negara, 3.9 juta dari kelompok bukan berpendapatan rendah (B40) tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Sudah pasti mereka akan terkesan jika kehilangan pekerjaan dan perlindungan kesihatan yang diterima dari majikan.

"Maka mySalam tidak inklusif kerana hanya merangkumi 3.69 juta dari kumpulan B40. Bagaimana dengan kelompok M40 yang turut berdepan kekangan kewangan dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan?" soalnya dalam kenyataan, semalam.

Justeru walaupun memuji inisiatif itu, beliau menggesa skim tersebut dikaji semula dengan mendapatkan maklum balas pelbagai pihak.

Dilancarkan pada 24 Januari lalu, Skim Perlindungan Nasional B40, atau mySalam, menawarkan perlindungan kesihatan terhadap 36 penyakit kritikal, antaranya kanser, serangan jantung dan alzheimer.

Selain membantu golongan B40, ia juga untuk memberi kesedaran tentang perlindungan insurans dan takaful kepada golongan itu.

Melalui skim itu, penerima antara lain akan mendapat bayaran one off RM8.000 dan bayaran harian RM50 apabila menjalani rawatan di hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setahun.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkannya berkata, skim itu mendapat dana permulaan berjjumlah RM2 bilion daripada syarikat insurans Great Eastern, dan percaya ia akan menarik sumbangan daripada syarikat yang lain pada masa akan datang.

Khaled juga mempersoalkan sama ada kerajaan kini menumpukan perhatian terhadap pemberian insurans, berbanding tanggungjawab asa menyediakan perkhidmatan kesihatan.

"Saya sarankan Kementerian Kesihatan untuk lebih fokus kepada pelaburan yang akan menambah baik infrastruktru penjagaan kesihatan.

"Skim mySalam pastinya akan menggalakkan lebih ramai pesakit dan tenaga pakar untuk ke sektor swasta... Menambah baik kualiti penjagaan kesihatan awam adalah dasar yang jauh lebih berkesan dan inklusif.

"Malaysia memerlukan peruntukan perubatan yang terbaik pada kadar yang mampu ditanggung untuk semua, bukan hanya kepada sesetengah kelompok masyarakat," katanya lagi.

Lihat Komen