malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Allah beri petunjuk pada pengundi tolak PH
Diterbitkan:  Jan 26, 2019 10:54 PM
Dikemaskini: 2:54 PM
ADS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang memanjatkan syukur kepada Allah kerana memberikan hidayah dan petunjuk kepada pengundi sehingga membawa kepada kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands .

“Syukur kepada Allah dengan hidayah-Nya yang memberi petunjuk kepada pengundi untuk memilih calon beragama Islam bagi mewakili rakyat dan masyarakat majmuk di Parlimen Cameron Highlands,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Dalam hantaran yang sama juga, beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai satu perkembangan positif ke arah kerjasama blok pembangkang yang lebih baik.

Dalam PRK yang berlangsung hari ini, calon BN Ramli Mohd Nor menang dengan 3,238 majoriti undi selepas meraih 12,038 undi keseluruhan, manakala calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran meraih 8,800 undi.

Dua calon bebas yang bertanding pula, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing meraih 276 dan 314 undi. Kedua-dua mereka dijangka kehilangan deposit.

Selain itu, kata Hadi, kemenangan itu merupakan satu isyarat bahawa rakyat menolak PH dan budaya politik melampau yang dibawah oleh DAP.

Pandangan serupa turut dikongsi oleh Anggota Parlimen Kuala Nerus Dr Khairuddin Aman Razali dalam hantaran Facebook berasingan, di mana beliau menyifatkan kekalahan DAP sebagai satu “amaran besar” kepada PH agar tidak mempermainkan Islam, Melayu serta keperluan hidup rakyat marhaen.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Mohamad Hasan tidak lupa memberi penghargaan kepada PAS atas kemenangan BN itu.

Katanya, gerak kerja dan kerjasama antara Umno dan PAS membuahkan hasil yang amat baik sehingga BN dapat mempertahankan kerusi di Cameron Highlands itu. 

Lihat Komen