Pengiklanan

    Banjir di Kota Marudu: Mangsa meningkat 1,828

    (Dikemaskini )

    Jumlah mangsa banjir di Kota Marudu setakat jam 9 malam tadi dilaporkan terus meningkat kepada 1,828 orang daripada 584 keluarga berbanding 1,425 orang daripada 510 keluarga yang direkodkan petang tadi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, dalam kenyataan berkata, kesemua mangsa banjir itu adalah daripada 26 buah kampung dan kesemua mereka ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara.

    Antara tempat yang terjejas ialah Kampung Longob, Kampung Belianjung, Kampung Mosolok, Kampung Maragatung, Kampung Salimandut, Kampung Damai, Kampung Parong, Kampung Popok Laut, Kampung Gurantung, Kampung Garada, Kampung Marion dan Kampung Teritipan.

    Sehingga kini, hujan masih berterusan dan mengakibatkan dua jalan tidak dapat dilalui kerana dinaiki air iaitu di Kilometer 5.7 Jalan Gana dan Jalan Kota Marudu-Marak Parak.

    Paras air di dua sungai berhampiran iaitu Sungai Bongon dan Sungai Bandau berada pada paras bahaya.

    Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Wilfred Madius Tangau terpaksa membatalkan perjalanan ke Kampung Sinukab, Kanibongan, Pitas bagi menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan UPKO kerana terkandas berikutan jalan dinaiki air.

    Bagaimanapun, Madius mengambil peluang melawat mangsa banjir ditempatkan di Dewan Hatob, Kampung Lotong, Kota Marudu dan menyampaikan bantuan peribadi kepada mereka.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih