Pengiklanan

    Mat Hasan: Kerjasama PAS faktor kemenangan BN

    (Dikemaskini )

    PRK CAMERON | Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata kerjasama dengan PAS merupakan antara faktor kemenangan calon BN Ramli Mohd Nor dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini.

    Dalam sidang media selepas pengumuman keputusan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, Mohamad juga menyatakan harapan agar kerjasama antara BN dan PAS itu diteruskan.

    "Kerjasama dan bantuan daripada PAS terutamanya amat jelas sekali dalam PRK ini, dan seperti yang kita jangkakan bahawa pengundi-pengundi yang memberi undi kepada PAS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), telah memberi kepercayaan kepad BN.

    "Ini jelas dibuktikan dengan peti-peti undi yang dulunya dimenangi oleh PAS tetapi di atas kerjasama parti BN iaitu khususnya Umno dan PAS, dapat membuahkan satu hasil.

    "Ini satu strategi yang baik dan kita akan teruskan strategi ini, teruskan kerjasama ini untuk kita pastikan supaya agenda tuan rumah di negeri ini akan terus diperkasakan," katanya.

    Terdahulu, SPR mengumumkan Ramli sebagai pemenang PRK Cameron Highlands. Ia merupakan kemenangan pertama buat BN sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14, dan sejak Mohamad menggalas tugas presiden Umno.

    Ramli pula mencatat sejarah tersendiri sebagai Orang Asli pertama menjadi ahli parlimen.

    Dalam sidang media itu, Ramli hanya menyampaikan ucapan ringkas berterima kasih kepada pengundi dan berjanji akan berusaha berkhidmat untuk penduduk Cameron Highlands sebagai ahli parlimen.

    Pembakar semangat

    Sementara itu, Mohamad turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yang menurutnya berjaya menyusun jentera kempen BN dengan lancar.

    "Kita letakkan jentera kita duduk bersama dengan pengundi. Ada yang duduk selama 10 hari di kawasan yang dijaga.

    "Ini membuahkan satu hasil yang amat baik dan ini akan kita teruskan di PRK di Semenyih nanti dan juga di tempat-tempat lain. Saya amat bersyukur," katanya.

    Tambah Mohamad lagi, kemenangan di Cameron Highlands akan menjadi pembakar semangat untuk BN berdepan PRK Semenyih 2 Mac depan.

    "Menang di Cameron Highlands ini satu perkara baik dan ia akan dapat menjadikan sebagai satu pembakar semangat untuk kita menghadapi PRK Semenyih.

    "Saya percaya rakyat telah membuka mata seperti yang saya sebut semasa di Sungai Koyan, bahawa PRK ini adalah referendum tidak puas hati rakyat terhadap prestasi kerajaan PH yang didapati banyak tidak menunaikan janji dan menghampakan rakyat," katanya.

    Keputusan rasmi yang dikeluarkan SPR menunjukkan Ramli menang dengan 3,238 majoriti undi selepas meraih 12,038 undi keseluruhan.

    Pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran meraih 8,800 undi. Ini merupakan kekalahan kali ketiganya di Cameron Highlands.

    Dua calon bebas yang bertanding pula, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing meraih 276 dan 314 undi. Kedua-dua mereka dijangka kehilangan deposit.

    Peratus keluar mengundi adalah 68.79 peratus, yang merupakan jumlah paling tinggi dalam semua PRK sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih