Pengiklanan

    Enam anak pulang mengundi untuk gembirakan ibu bapa

    (Dikemaskini )

    PRK CAMERON HIGHLANDS | Walaupun tidak sempat mengundi pada pilihan raya umum (PRU) pertama Tanah Melayu pada 1959, Mat Intan Adam, 77, dari Tanjung Gahai, tidak pernah ketinggalan mengundi dalam kesemua 13 PRU berikutnya serta pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands hari ini.

    Apa yang menariknya hari ini, penoreh getah itu bersama isteri Latipah Ibrahim, 61, serta diiringi enam daripada lapan anaknya menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai di sini.

    Enam anak yang pulang mengundi ialah Mohamad Ali Hanapiah, 42, Mohamad Ghazali,40, Mohamad Idris, 38, Mohamad Ismail, 37, Siti Aishah, 26 dan Siti Khatijah 23.

    Manakala dua lagi anaknya yang tidak bersama, Mohamad Isuyadi, 35, iaitu anak kelima yang bertugas sebagai anggota polis di PGA Cheras manakala seorang lagi Mohamad Tarmimi, 30, anak keenam tidak dapat cuti kerana bekerja dengan industri minyak di Pengerang, Johor.

    “Saya gembira anak-anak juga turun bersama mengundi, semua mengundi di sini walaupun kerja di tempat lain. Tanggungjawab kena laksanakan sebab itulah akan menentukan masa depan anak cucu kita.

    “Inilah kampung saya dan di sinilah saya mengundi sejak dulu,” katanya sambil ditemani anak bongsunya Siti Khatijah selepas selesai mengundi.

    Siti Khatijah berkata berikutan keuzuran, bapanya kini perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

    “PRU lepas ayah masih boleh berjalan lagi, tapi sekarang ini dia mudah penat,” katanya.

    Sementara itu, anak keempat, Mohamad Ismail yang menetap di Temerloh dan bekerja sebagai Pegawai Perhutanan berkata beliau akan memastikan tanggungjawab pulang mengundi selain mahu menggembirakan ayah dan emak.

    Untuk rekod, Pilihan Raya Umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu (kemudian Malaysia) adalah pada 19 Ogos 1959 selepas Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Julai 1955, iaitu sebelum kemerdekaan.

    - Bernama  

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih