malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kontraktor pacak papan tanda, kerajaan arah turunkan
ADS

PRK CAMERON | Pada hari terakhir kempen di Cameron Highlands, tiba-tiba muncul papan tanda mengenai projek pembangunan Jabatan Kemajuan Orang Asli di beberapa perkampung masyarakat berkenaan.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, papan tanda berlogo Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan lambang "Harapan Baru Malaysia" itu didirikan di Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong, Lembah Bertam.

Papan tanda tersebut menyatakan pembangunan itu membabitkan projek "baik pulih rumah" yang bertarikh 18hb Jan sehingga 17 Febr 2019.

Di Kampung Sungai Kabuk - juga di kawasan Lembah Bertam - papan tanda itu menyatakan ia adalah projek "baik pulih tadika", namun tiada tarikh yang dipaparkan.

Apabila didekati, didapati simen yang digunakan untuk mendirikan papan tanda itu masih belum kering.

Pada papan tanda berkenaan juga terpapak ayat: Jasa Kepada Orang Asli.

Beberapa penduduk Kampung Sungai Tiang dan Sungai Chohong memberitahu Malaysiakini, papan tanda tersebut hanya didirikan pada tengah hari tadi oleh beberapa lelaki tidak dikenali.

"Kami tidak tahu siapa mereka. Katanya minggu depan ada orang akan datang baiki rumah," katanya salah seorang penduduk kampung.

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Jakoa, Ajis Sitin, mengesahkan papan tanda tersebut sememangnya didirikan oleh pihaknya.

"Kami membantu Orang Asli pada setiap masa," jawabnya dengan ringkas kepada Malaysiakini melalui telefon.

Namum Ajis enggan mengulas apabila ditanya kenapa projek berkenaan dibuat sewaktu kempen PRK berlangsung, dan beliau lalu mematikan talian.

Sementara itu dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata mana-mana kontraktor tidak boleh menaikkan papan tanda.

"Selepas dimaklumkan mengenai papan tanda itu kami mengarahkan ia diturunkan serta-merta," katanya.

Tambah Lim, pihak PH tidak tahu-menahu mengenai papan tanda yang dinaikkan itu. Bagaimanapun Lim turut berterima kasih kepada Malaysiakini yang mengesan serta melaporkannya malam ini.

Lihat Komen