malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
13 barang disenarai di bawah Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina
Diterbitkan:  Jan 25, 2019 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM
ADS

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 13 barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 yang akan disambut pada 5 Feb ini.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata skim itu berkuatkuasa selama 10 hari bermula pada 31 Jan hingga 8 Feb di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya barangan harga terkawal tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar serta babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

"Kesemua barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan, oleh itu, kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran," katanya pada sidang media, di Putrajaya.

Menurutnya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi memastikan harga tersebut berpatutan untuk manfaat pengguna dan peniaga.

Saifuddin Nasution berkata bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah, tindakan pengeluaran notis di bawah seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.

Katanya mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pula boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Saifuddin Nasution berkata seramai kira-kira 1,400 pegawai pemantau harga KPDNHEP akan menjalankan pemantauan di seluruh negara, selain kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi kerajaan lain serta Friends of KPDNHEP.

-- Bernama

Lihat Komen