Pengiklanan

    SPRM ragui dokumen salinan asal dari s'jaya syarikat - Sumber


    (Dikemaskini )

    Dokumen yang disahkan sebagai salinan asal (CTC) dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mungkin diragui kerana sistemnya dipersoalkan, maklum sumber SPRM.

    Sumber mendakwa para penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menemukan isu berkaitan sistem yang menyediakan khidmat salinan asal maklumat syarikat. Dokumen itu boleh dibeli dalam talian pada harga RM30.

    "Kita syak sistem ini tak beroperasi dengan betul dan melanggar tata-cara bawah peraturan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

    "SKMM tidak tahu siapa yang terpedaya dalam hal ini, namun pengguna-pengguna melibatkan agensi-agensi kerajaan khususnya agensi penguatkuasa, termasuk peguam-peguam di negara ini dan orang awam.

    "(Jadi) diragui kesahihan mengenai salinan dokumen syarikat yang disahkan melalui sistem ini," kata salah satu sumber yang rapat dengan siasatan SPRM terhadap Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

    Menurut sumber hal ini boleh membawa kepada masalah yang lebih besar kerana salinan dokumen yang disahkan itu digunakan secara meluas di institusi kewangan dan di mahkamah.

    "Ia akan beri kesan lebih besar terutama dari segi perundangan terutama bila dokumen itu digunapakai di mahkamah," kata sumber lagi.

    Sumber berkata, SPRM mengesyaki masalah itu bermula pada Januari 2017.

    Malaysiakini diberitahu para penyiasat menemukan dapatan itu apabila mereka melakukan siasatan terhadap dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam suruhanjaya syarikat.

    Mereka meneliti salah satu projek sistem IT SSM. Ia merupakan sebahagian daripada penyiasatan yang lebih besar dan lebih luas yang dilancarkan oleh SPRM baru-baru ini.

    Sumber yang dekat dengan pihak berkuasa itu berkata SPRM berharap agar sesiapa yang mempunyai sebab untuk mengesyaki kesahihan dokumen salinan asal (CTC) yang mereka beli dari SSM untuk menghubungi pihak berkuasa.

    "CTC itu berkaitan dengan orang awam. Mana-mana pihak pun, termasuk badan kerajaan, yang memiliki keraguan mengenai kesahihan dokumen yang didapatkan mereka itu supaya datang tampil minta SPRM siasat.

    "Sebab mereka pengguna dokumen itu, pengamal undang-undang, bank, institusi kewangan, orang nak buat pinjaman dia akan beli dokumen dari SSM, mereka yang menanggung kesannya," kata sumber lagi.

    Malaysiakini telah menghubungi SSM bagi mendapatkan penjelasan.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih