BERITA

Tribunal siasat dakwaan salah laku enam ahli SPR

24 1月 2019, 7:51 早上

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Sebuah tribunal telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan salah laku yang dilakukan oleh enam anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peranan mereka menjelang dan semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Peguam Negara Tommy Thomas, dalam satu kenyataan, mengumumkan bahawa tribunal itu akan terdiri daripada lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara.

Mereka adalah Steve Shim Lip Kiong yang dilantik sebagai pengerusi, Zaleha Zahari, Suriyadi Halim Omar, Jeffrey Tan Kok Wha, dan Prasad Sandosham Abraham.

Katanya, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad telah membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa enam ahli SPR itu harus disiasat dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dipecat menurut Perkara 114(3) dan 125(3) Perlembagaan Persekutuan atas syor tribunal itu.

“Tribunal akan bersidang di Mahkamah Klang pada pukul 10 pagi 28 Januari ini untuk menimbang teliti hal perkara berhubung mandat daripada Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan enam anggota SPR.

"Mereka adalah Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong," katanya.

Pada 17 Oktober tahun lalu, terdapat laporan bahawa kerajaan telah memulakan proses untuk menubuhkan tribunal berkenaan, namun pada hari berikutnya, lima anggota SPR itu telah mengumumkan peletakan jawatan mereka.

Seorang lagi anggota yang kekal turut meletak jawatan pada 27 November tahun lalu. Semua peletakan jawatan ini berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

"Walaupun enam Ahli SPR telah meletakkan jawatan, tribunal mempunyai segala budi bicara berhubung semua perkara yang berkaitan dalam membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong," kata Tommy.

Beliau turut mengumumkan peguam yang membantu tribunal itu adalah M Puravalen dari Badan Peguam Malaysia serta M Kogilambigai dan Ann Khong Hui Li dari Jabatan Peguam Negara.

[Baca berita penuh]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen