malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRK Cameron Highlands: Pengundi dinasihat keluar awal pagi
Diterbitkan:  Jan 24, 2019 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM
ADS

Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands Sabtu ini dinasihatkan supaya merancang masa dan keluar pada awal pagi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata walaupun tempoh masa mengundi ditetapkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang, pengundi dinasihatkan tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir.

"Ini berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan dijangka pada sebelah petang. Terdapat juga pusat mengundi ditutup lebih awal berikutan faktor logistik dan kedudukan geografi pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada PRK itu Sabtu ini.

"SPR juga meminta para pengundi membuat semakan awal maklumat daftar memilih sebelum hari pengundian yang boleh disemak melalui portal rasmi SPR www.spr.gov.my, talian 03-88927018, atau melalui aplikasi MySPR Semak," katanya.

Azhar berkata pengundi yang telah mengetahui maklumat daftar pemilih tidak perlu menyemaknya di barung SPR, sebaliknya diminta mencatatkan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Beliau berkata pengundi disaran membawa catatan maklumat tersebut dan menunjukkannnya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran bagi memudahkan semakan nama dibuat dan membantu kelancaran proses pengundian.

"Mereka juga dinasihatkan untuk membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri rasmi dan sah pada hari pengundian serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya," katanya.

Azhar turut berkata berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 14 Dis lepas, jumlah pemilih layak mengundi biasa adalah seramai 31,749 orang.

"Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut sebanyak 110 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi layak bagi undi pos menjadikan mereka yang layak mengundi biasa Sabtu ini adalah 31,639 orang," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept); serta Parlimen Port Dickson (13 Okt).

PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan M. Manogaran, bekas pesara Polis Diraja Malaysia Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.

-- Bernama

Lihat Komen