malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis serbu firma guaman Goldman di KL, cari dokumen 1MDB
ADS

Pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) hadir di firma guaman Rahmat Lim & Partners untuk mencari dokumen yang dikaitkan dengan 1MDB.

Perkara itu disahkan oleh Pemangku pengarah JSJK, Saiful Azly Kamaruddin yang berkata pencarian itu dilakukan di firma undang-undang yang bertempat di Mid Valley City, Kuala Lumpur itu.

Terdahulu, The Edge melaporkan polis sedang mencari dokumen berkaitan tiga bon 1MDB yang dikendalikan oleh Goldman Sachs selepas mereka memperoleh perintah mahkamah untuk berbuat demikian.

Rahmat Lim & Partners dilaporkan firma guaman yang mewakili gergasi perbankan pelaburan AS itu semasa terbitan bon 1MDB pada tahun 2012 dan 2013 berjumlah AS $ 6.5 bilion.

"Pasukan polis pergi ke firma itu pada pukul 10 pagi dan kami sedang mencari dokumen-dokumen berkenaan," kata Saiful kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai dokumen yang dicari oleh pihak polis.

Difahamkan serbuan itu dikendalikan oleh unit jenayah korporat dan kewangan JSJK.

The Edge juga melaporkan polis telah mendapatkan dokumen yang berkaitan daripada sebuah lagi firma guaman, Wong & Partners tetapi perkara itu disangkal oleh Saiful.

"Kami hanya meneliti satu firma guaman (Rahmat & Lim), bukan Wong & Partners," katanya.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen