malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Liew: Amerika, China tak boleh anggap M'sia sebagai proksi
ADS

Kedua-dua negara kuasa dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China, tidak boleh melihat Malaysia atau negara Asean lain sebagai proksi mereka, kata Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Bercakap atas kapasiti peribadi dalam forum di Universiti Sunway hari ini, beliau menegaskan Malaysia tidak akan berpihak dalam pertikaian perdagangan yang sedang berlangsung antara dua negara itu.

"Sememangnya kita tak mahu berpihak, kita mahu mengekalkan ruang dasar bebas seboleh mungkin.

"China seperti seekor gajah besar dan perlu sedar saiznya yang besar. Ini kerana berdasarkan naratifnya, China melihat dirinya sebagai mangsa AS dan sekutunya, dan maka tindakannya berkenaan AS adalah betul.

"Penting (untuk AS dan China) tidak melihat negara ini sebagai proksi salah satunya," katanya lagi.

'Perang' perdagangan antara dua negara itu bermula tahun lalu selepas Presiden Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif untuk barangan China. Beijing kemudian membuat tindakan serupa.

Liew juga mengingatkan Beijing bahawa selain perang perdangangan itu, ia perlu juga mengambil kira hubungannya dengan negara di Asia Tenggara.

"Malaysia memang negara kecil pada pandangan China. China perlu menangani negara-negara kecil dengan cara yang amat berhati-hati.

"Cabarannya adalah untuk China dan semua pihak untuk tidak memaksa pihak lain memilih (antara negara itu dengan AS), dan tidak melihat negara kecil yang merdeka sebagai proksi mana-mana pihak," katanya lagi.

Beliau menggesa China mengambil pendekatan berbeza dalam mengekalkan hubungannya di rantau ini.

"China memiliki banyak ruang untuk mengubah caranya, untuk menjadikannya lebih lembut dan menarik bagi negara-negara kecil.

"Misalnya, ketika Presiden Xi Jinping bercakap tentang inisiatif One Belt One Road pada Mei 2017, beliau berkata projek perlu telus dan terbuka.

"Bagi saya ia boleh dilaksanakan, dan akan menjadikan negara kecil lebih selesa berbanding masa ini," katanya lagi..

Lihat Komen