malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak menafikan beliau pernah berjumpa dengan mendiang Altantuya Shaariibuu sepertimana kenyataan sepupu wanita Mongolia itu hari ini.

Najib juga berkata kenyataan tersebut terhadap dirinya adalah fitnah.

"Itu fitnahlah. Tipu. Saya tak pernah jumpa dia.

“Saya dah sumpah dalam masjid,” katanya merujuk kepada sumpahnya pada 2008.


Baca: Sepupu sahkan tengok gambar Altantuya dan 'TPM bernama Razak'


Anggota Parlimen Pekan itu ditemui selepas menghadiri majlis beramah mesra bersama penduduk di Kampung Lubuk Kulit di Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Burmaa Oyunchimeg di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Selepas menjawab soalan tersebut dengan nada tenang dan tersenyum, Najib terus berlalu pergi untuk menunaikan solat Zuhur di masjid berdekatan.

Terdahulu hari ini Burmaa membuat dakwaan tersebut ketika memberi keterangan sebagai saksi dalam saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya susulan kematian mendiang.

Sepupu Altantuya itu mendakwa mendiang pernah menunjukkan gambarnya bersama pakar pertahanan Razak Baginda dan timbalan perdana menteri yang menurutnya bernama “Razak”.

Altantuya mati dibunuh pada Oktober 2006 apabila kepalanya ditembak dan mayatnya diletupkan.

Dua anggota polis elit dari unit tindakan khas (UTK) Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar kemudian didapati bersalah kerana membunuh wanita berkenaan. 

Manakala Abdul Razak yang juga merupakan rakan kepada Najib dibebaskan daripada tuduhan bersubahat terhadap kes pembunuhan itu.

Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Razak Baginda dan Kerajaan Malaysia, dengan menuntut pampasan RM100 juta.

Burmaa Oyunchimeg 






Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen