Pengiklanan

    Generasi kedua Felda: 'BN anak tirikan kami'

    (Dikemaskini )

    PRK CAMERON | Meskipun Felda Sungai Koyan merupakan kubu kuat Barisan Nasional, hari ini sekumpulan generasi kedua peneroka Felda meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap BN kerana merasakan kerajaan negeri menganaktirikan mereka.

    Bercakap pada satu sidang media hari ini, salah seorang generasi kedua Norafandi Daud, 54, mendakwa ini disebabkan mereka mempunyai berlainan ideologi politik.

    "Orang atas pagar macam saya disenaraihitamkan. Ahli PAS tegar macam saya memang tak dapat apa-apa (bantuan).

    "Dulu kita nak mengadu macam mana? Dulu kerajaan pusat dan kerajaan Pahang sama (BN). Kami ni tersepit walaupun sekarang. Malahan kami dah kena boikot pun," katanya di Felda Sungai Koyan 1 hari ini.

    Pahang merupakan salah satu negeri yang kekal di bawah pentadbiran BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

    Pembangunan terbantut di bawah BN 

    Selain dianaktirikan, mereka juga mengadu bahawa biarpun Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail telah memegang jawatan Adun Jelai di situ selama empat penggal, tetapi pembangunan, kemudahan-kemudahan dan peluang pekerjaan masih terhad.

    Ramesh Kumar berkata, beliau tidak menafikan jalan raya dan infrastruktur sedia ada di kawasan tersebut masih elok, tetapi beliau tidak melihat masa depan yang cerah bagi generasi seterusnya tinggal di situ.

    "Ada peluang pekerjaan yang terhad. Kita tak nak kerajaan buat jalan raya, turap jalan yang elok saja. 

    "Beri 'gula-gula' kepada kita. Kita nak benda yang tetap untuk generasi seterusnya," kata lelaki berusia 50 tahun itu.

    Azman Nuruddin, 58, yang turut sependapat dengan Norafandi dan Ramesh berkata dengan peluang pekerjaan yang terhad di felda berkenaan, generasi kedua yang kebanyakannya tinggal bersama ibu bapa mereka terpaksa melakukan kerja-kerja am.

    Katanya, selain mengambil upah potong rumput, mereka juga menyara hidup dengan menguruskan ladang kelapa sawit ibu bapa mereka.

    "Sepatutnya ekonomi dah boleh berkembang. Kerja potong rumput tak ada pendapatan tetap.

    "Kami (pernah) minta agensi lain tolong kami, tak ada datang. Kami minta wakil rakyat jumpa kami dan nak luahkan apa yang perlu," katanya yang perniagaannya sebelum ini pernah diganggu.

    Mereka yang mengharapkan PH dapat membela nasib mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang berlangsung pada 26 Januari ini turut berkata mereka terpaksa melalui jalan yang jauh dan gelap untuk keluar ke Raub atau Kuala Lipis untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan lain.

    Kata mereka, disebabkan kos perjalanan yang jauh, harga barang mentah di situ secara tidak langsung meningkat.

    Untuk rekod, jarak antara Raub dan Jelai merupakan 51 kilometer. Manakala perjalanan antara Kuala Lipis dan Jelai merupakan 40 kilometer. 

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih