malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Di kubu BN, Amanah tangkis serangan 'DAP anti-Islam'
ADS

PRK CAMERON | Pada PRU ke-14 pada 9 Mei lalu, Pakatan Harapan (PH) mendapat kurang daripada 10 peratus undi di kawasan Sungai Koyan yang terletak di DUN Jelai.

Pada PRK kali ini, kawasan itu sekali lagi menjadi medan untuk meraih undi daripada pengundi Melayu, yang mana isu-isu berkaitan Melayu dan Islam dilihat penting.

Pada Ahad malam lalu, PAS dan Umno mengadakan ceramah bersama di sana - dengan kehadiran lebih seribu - dan kebanyakan pemimpin menyasarkan serangan kepada DAP yang dikatakan ancaman kepada Melayu dan Islam.

Malam tadi, Amanah yang merupakan parti serpihan PAS cuba melawan semula serangan itu walaupun di depan hadirin yang jauh lebih kecil.'

Di depan 25 hadirin di Sungai Koyan 1, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata serangan terhadap DAP adalah tidak benar dan cuba meyakinkan mereka agar meninggalkan 'dacing' ketika hari mengundi pada 26 Januari ini.

"(Mereka pergi) Rumah ke rumah, tiada isu lain yang dimainkan (kecuali) perkauman. Ini saja senjata yang ada pada mereka.

"(Dengan mengatakan) Orang Melayu telah tergadai, nasib dan masa depan Melayu (terancam). Ini cerita (yang didengar) daripada saya kecil sampai tua," katanya.


BacaBagi PAS dan Umno, PRU14 tragedi buat Melayu, Islam


Mohamad turut membangkitkan peningkatan peruntukan kepada hal ehwal dan institusi Islam di Pulau Pinang selepas DAP mentadbir negeri itu sejak 2008.

"Dan pada PRU 2018, BN tinggal dua kerusi (di negeri itu). Sudah empat PRK kita menang... Kita akan lihat BN dan kawannya termasuk PAS akan mula pupus bila (rakyat) tengok kita boleh (berkhidmat)," katanya lagi.

Hubungan DAP dan PAS sudah lama

Kira-kira sepuluh minit perjalanan dari acara itu, di rumah pemimpin tempatan Bersatu di Kampung Kuala Medang, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil menegaskan umat Islam perlu bersatu menolak "amalan rasuah" BN yang bertentangan dengan Islam.

Faiz Fadzil

"Ia motif (punca) PRK Cameron Highlands, mahkamah putuskan wujud rasuah pada PRU lalu di sini.

"Hari ini kita banyak mendengar ceramah yang memetik DAP (anti)Islam dan sebagainya, tetapi kita orang Islam perlu faham... Islam sebenar bukan pada slogan, pada nama, (tetapi) bagaimana kita nak mengamalkan nilai dan etika Islam," katanya di depan 50 hadirin, yang kebanyakannya enggan diambil gambar.

Anak kepada bekas presiden PAS Allahyarham Fadzil Mohd Noor itu berkata pendirian PAS kini yang menentang DAP bertentangan dengan hubungan kerjasama yang panjang antara dua parti itu.

"Siapa yang mula berkawan dengan DAP? Ustaz Fadzil... Ketika Barisan Alternatif pada 1998, ketika Anwar Ibrahim dibuang dan dipenjara.

"Tetapi hari ini (PAS) kata DAP menentang Islam. Jangan terperangkap dalam sentimen agama seperti ini, kalau betul DAP menentang Islam, menyebabkan Islam tertindas, saya tak yakin Ustaz Fadzil akan bergaul dengan DAP," katanya lagi.

Dalam PRK kali ini, calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran yang merupakan daripada DAP dicabar calon BN Ramli Mohd Nor dan dua calon Bebas - Sallehudin Ab Talib dan Wong See Yee.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun mengingatkan parti politik yang bertanding bahawa penggunaan unsur perkauman dan sentimen agama adalah kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mahfuz Omar

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mengecam "sikap hipokrit" pembangkang yang mengkritik Manogaran yang bukan beragama Islam, sedangkan anggota parlimen di Cameron Highlands memang sejak dulu bukan daripada orang Islam.

"Dulu tiada siapa persoal calon BN India... Yang penting ini peluang terbaik untuk pengundi di Cameron Highlands khususnya di DUN Jekai ini untuk mendapat dua kerajaan.

"Jika Manogaran menang, anda akan dapat dua kerajaan, iaitu kerajaan negeri (BN) dan anggota parlimen daripada PH (yang menjadi kerajaan persekutuan), " katanya lagi.

Lihat Komen