malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR: Sentimen kaum, agama langgar peraturan pilihan raya
Diterbitkan:  Jan 21, 2019 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM
ADS

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mengingatkan bahawa penggunaan unsur perkauman dan sentimen agama adalah kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Azhar berkata peringatan itu berikutan terdapat laporan wujudnya isu berkenaan dalam kegiatan berkempen di PRK Cameron Highlands.

"Kempen yang berunsurkan perkauman adalah kesalahan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Manakala berkempen dengan menyentuh sensitiviti agama adalah pengaruh tidak wajar dan kesalahan di bawah Sesyen 9 akta sama," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran mendakwa BN dan PAS menggunakan isu perkauman dalam kempen mereka.

Beliau merujuk kenyataan pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan yang antara lain berkata orang Melayu dan Islam diperlekehkan bawah pentadbiran PH.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi pula dalam satu program minggu lalu berkata sudah menjadi tanggungjawab agama buat pengundi beragama Islam untuk menolak calon PH pada PRK ini.

Azhar berkata parti politik dan calon bertanggungjawab memastikan setiap kegiatan kempen tidak menyalahi undang-undang dan menimbulkan kekeliruan kepada pengundi.

"SPR menyeru setiap calon dan parti memberi perhatian sewajarnya terhadap setiap perkara yang dinyatakan dalam aku janji (yang ditandatangani mereka sebelum ini)," katanya lagi.

Lihat Komen