malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB: Saman kes tanah adat hanya buka pekung k'jaan pusat sendiri
ADS

Tindakan kerajaan persekutuan memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan dalam isu Orang Asli hanya akan 'membuka pekung di dada' kerajaan persekutuan sendiri, kata Menteri Besar Ahmad Yakob.

Beliau berkata ini kerana kerajaan persekutuan - melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) - juga mempunyai peranan penting dalam menjaga hal ehwal Orang Asli.

"Sepatutnya mereka (Jakoa) menjadi 'pengasuh' untuk menguruskan mereka dan menyediakan infrastruktur.

"Kita hanya menyediakan tanah kawasan pertanian, kawasan rayau, tapak rumah dan kita dah tambah bantuan-bantuan lain kepada Orang Asli. Tak timbul kita tak jaga kebajikan mereka," katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.

Pada 18 Januari lalu, kerajaan persekutuan memfailkan saman sivil terhadap kerajaan Kelantan kerana menceroboh tanah Orang Asli Temiar di negeri ini.

Peguam negara Tommy Thomas berkata saman itu dibuat kerana negara perlu melindungi kebajikan Orang Asli, walaupun tanah dan perhutanan bawah kuasa kerajaan negeri.

Ahmad berkata kerajaan negeri telah menjaga kebajikan golongan itu melalui empat badan utama, iaitu Yayasan Tok Kenali, Pejabat Menteri Besar, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat-istiadat Kelantan.

"Dalam aspek itu, kalau kita tengok apa yang didedahkan dalam akhbar, seolah-olah membuka pekung kerajaan persekutuan sendiri," katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata saman tersebut mungkin bermotifkan politik kerana dibuat ketika tempoh kempen PRK Cameron Highlands.

"Peguam negara failkan saman, dia kata itu keputusan kabinet. Kabinet bersidang hari Rabu, Khamis terus fail saman dan disebut di mahkamah keesokannya.

"Macam satu rancangan politik untuk dapatkan pengaruh politik di PRK Cameron Highlands. Kami jadi mangsa untuk raih undi," katanya lagi.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu dan menamakan kerajaan negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, dan lima syarikat swasta sebagai defendan.

Ia memohon perintah mahkamah untuk mengiktiraf hak tanah Orang Asli Temiar di Pos Simpor di Gua Musang, dan injunksi untuk menghalang syarikat swasta daripada menceroboh dan memusnahkan tanah berkenaan untuk tujuan komersil.

Lihat Komen