malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA: Saman pusat pada Kelantan mencurigakan
Diterbitkan:  Jan 20, 2019 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM
ADS

MCA hari ini menuntut PH menjelaskan langkah Putrajaya menyaman kerajaan Kelantan yang dianggapnya dilatari dengan kebetulan yang meragukan.

Jurucakap MCA, Chan Quin Er, berkata PH perlu menjelaskan apakah niat sebenar kerajaan mengemukakan saman berkenaan.

Katanya MCA memang menyokong sebarang langkah mana-mana pihak memperjuangkan hak masyarakat Orang Asli berdasarkan prinsip perlembagaan.

"Tetapi pada masa sama kami turut memandang serius tindakan kerajaan PH menyaman kerajaan PAS Kelantan.

"Saman tersebut difailkan pada 14 Januari dan tarikh perbicaraannya dipercepatkan iaitu hanya lapan hari selepas ia difailkan.

"Tindakan yang secara kebetulan ini amat mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 18 Jan lalu Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu kerajaan pusat mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu kerana mendakwa kerajaan Kelantan kerana didakwa menceroboh tanah suku Temiar di negeri itu. 

Nampak tergesa-gesa

Sejak lama dulu Kelantan mendakwa tiada mana-mana kawasan di negeri itu menjadi milik Orang Asli kecuali tanah yang diberikan oleh kerajaan. 

Untuk rekod sebelum ini PAS terlebih dulu mempertikaikan masa saman itu dikemukakan kerana ia berlaku menjelang PRK Cameron Highlands.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata langkah tersebut memang mencurigakan

Chan berkata saman yang diarahkan Putrajaya itu boleh menjejaskan imej agensi kerajaan, termasuk Jabatan Peguam Negara, hingga mereka "dihina".

Tommy Thomas

"Tindakan itu akan menyebabkan agensi-agensi kerajaan - yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik - akan dihina dan dipandang rendah orang ramai," katanya.

Menurut Chan orang ramai memang sedar jumlah pengundi dalam kalangan Orang Asli di Cameron Highlands adalah ramai, iaitu 22 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar.

Katanya dengan apa yang berlaku sudah pasti saman berkenaan akan dijadikan bahan kempen PH dalam PRK Cameron Highlands.

"Ramai rakyat Malaysia mempersoalkan pengurusan kes yang kelihatan dibuat secara tergesa-gesa itu.

"Ada juga yang bimbang bahawa Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman sedang dipergunakan untuk menyaman kerajaan Kelantan demi memenuhi agenda politik peribadi kerajaan PH," katanya.

Lihat Komen