malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak undi BN, Melayu dan Islam mudarat, kata Umno dan PAS
ADS

PRK CAMERON | Suasana petempatan Melayu di Kampung Keledek malam tadi tidak seperti biasa.

Jika selalunya ia tenang dan tidak banyak aktiviti, malam tadi pemimpin pembangkang hadir untuk menyatakan kepada orang ramai bahawa pembabitan mereka penting untuk menggagalkan calon DAP - dan PH - daripada menjadi anggota parlimen di situ.

Tokoh yang datang berceramah pula bukan orang biasa-biasa.

Mereka ialah Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; ketua pemuda parti itu Muhammad Muhammad Khalil Abdul Hadi; dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Tidak ketinggalan pemimpin Umno yang gigih mempertautkan partinya dengan PAS, Tajuddin Abdul Rahman.

Mereka bergilir-gilir mengambil tempat untuk meyakinkan orang ramai bahawa DAP sebuah parti yang memusuhi Melayu dan Islam.

Muhammad Khalil yang juga anak presiden PAS itu misalnya mendakwa DAP mahu membuang Islam daripada agama rasmi negara ini.

Tak boleh dipercayai

Katanya sejak mendapat kuasa parti itu mengganggu pelbagai institusi Islam dan raja.

Untuk rekod dalam PRK ini calon PH ialah M Manogaran yang juga anggota DAP.

PH cuba merampas kerusi parlimen Cameron Highlands yang selama ini diwakili BN, dengan kebanyakan masa ditandingi oleh calon dari MIC.

Bagaimanapun untuk PRK kali ini BN memilih tokoh daripada kalangan Orang Asli yang juga bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia, Ramli Mohd Nor.

Selain parti komponen BN, PAS turut giat berkempen untuk memenangkan Ramli.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata DAP sebuah parti rasis dan cauvinis. Justeru katanya parti itu tidak boleh dipercayai.

"Kita mintak (orang ramai) berfikirlah seketika, (kalau) kita nak memberikan undi kepada orang yang akhirnya akan memijak agama kita, kedudukan apa yang telah dipersetujui dalam perlembagaan.

"Mereka ini terkenal sebagai anti-Islam. Sebab itulah kita jangan sesekali biarkan parlimen Cameron Highlands ini kita berikan kepada mereka," katanya.

Kampung Keledek ialah kubu kuat PAS dan ramai penduduk setempat yang ditemui Malaysiakini sebelum ini memberitahu, mereka ialah anggota parti itu atau sekurang-kurang menjadi penyokongnya.

Kata Asyraf Wajdi semua pengundi Melayu dan Islam dalam kawasan berkenaan - tanpa mempedulikan parti masing-masing - perlu memberi sokongan padu kepada Ramli.

"Pastikan jiran tetangga kita yang hatinya berbolak-balik, nak keluar mengundi, tak nak keluar mengundi, nak boikotlah, nak macam-macam, kita katakan (kepada mereka) kalau tak keluar mengundi, calon kita kalah, calon DAP menang.

"Ia akan membawa mudarat lebih besar kepada Islam dan Melayu," katanya.

Muhammad Khalil pula memberi penegasan tambahan dengan memberitahu mengundi dalam PRK itu satu tanggungjawab yang berkaitan dengan agama.

Katanya tambahan pengundi terbabit terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.

"Maka menjadi kewajiban kepada semua rakyat di Cameron Highlands ini, wajib keluar (mengundi pada) 26 Jan nanti untuk mengundi bagi menunaikan tanggungjawab, bukan saja sebagai warganegara, tapi tanggungjawab sebagai orang Islam.

"Kerana mengundi ini salah satu daripada tanggungjawab utama untuk menyelamatkan negara kita, bangsa kita, dan generasi kita untuk generasi akan datang," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen