Pengiklanan

    Inkues Adib mungkin sukarkan sabitan membunuh, kata peguam


    (Dikemaskini )

    Pihak pendakwa mungkin berdepan kesukaran yang besar untuk mendapatkan sabitan membunuh jika mereka membawa kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim ke mahkamah, kata seorang peguam.

    Menurut M Hafiz Zainol Abidin tanpa mendapat pengesahan tentang punca kematian Muhammad Adib itu, peluang untuk pihak pendakwa memenangi kes berkenaan akan menjadi tipis.

    Kata peguam terbabit langkah mengadakan proses inkues sekarang membayangkan ahli patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Muhammad Adib tidak menemui punca kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terbabit.

    "Hal ini akan banyak mempengaruhi perbicaraan kes jenayah itu pada masa depan - jika ada - berhubung dengan tindakan menyalahkan sesuatu pihak kerana membunuh Adib.

    "Ia tidak mustahil, tetapi ia akan mencabar," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Muhammad Adib ialah anggota JBPM yang mengalami kecederaan parah semasa bertugas di kawasan kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 27 Nov 2018.

    Selepas 21 hari dirawat, dia akhirnya menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

    Perlu buktikan punca kematian

    Muhammad Adib, 24, didakwa cedera selepas diserang sekumpulan individu yang merusuh di kawasan kuil berkenaan.

    Seorang ahli patologi menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Muhammad Adib tetapi Menteri Dalam Negeri Muhyiddn Yassin - pada 27 Dis tahun lalu - mengumumkan bahawa suatu inkues akan diadakan bagi mengenal pasti kematian anggota JBPM itu.

    Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini menetapkan inkues berkenaan akan dimulakan pada 11 Feb ini.

    Petuga media massa mengadakan liputan mengenai inkues di Shah Alam hari ini

    M Hafiz berkata laporan bedah siasat menjadi keterangan yang penting - selain bukti lain - dalam sesebuah perbicaraan.

    "Apabila sesuatu kes bunuh dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pendakwa terlebih dulu perlu membuktikan mangsa mati akibat kecederaan dilakukan oleh suspek.

    "Masih ada kemungkinan inkues itu akan mendapati Muhammad Adib meninggal dunia akibat serangan, namun pihak pembelaan masih boleh berhujah menggunakan laporan bedah siasat jika ia menunjukkan pemeriksa tidak dapat merumuskan punca kematian tersebut," katanya.

    M Hafiz yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun sebagai peguam bela berkata, satu lagi kemungkinan daripada inkues itu ialah, mahkamah koroner boleh membuat keputusan terbuka.

    Dalam keadaan itu katanya mahkamah boleh memutuskan punca atau keadaan kematian Muhammad Adib tetap tidak diketahui atau dapat dijelaskan.

    "Kalau mahkamah memberikan penghakiman terbuka, ia akan jadi lebih sukar untuk pendakwa mendapatkan sabitan membunuh, malah untuk sabitan membunuh tanpa niat," katanya.

    Sambil menegaskan ia masih suatu hipotesis dan bukan garis panduan awam, M Hafiz berkata, ada kemungkinan yang besar untuk perbicaraan jenayah melibatkan kematian Muhammad Adib hanya setakat pendakwaan membunuh tanpa niat.

    [Baca berita asal]