malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lewat bayar peneroka - Felda jawab Guan Eng
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 8:35 PM
Dikemaskini: 12:35 PM
ADS

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini menafikan dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung kelewatan pengagihan bayaran tunggakan kepada peneroka Felda.

“Aduan peneroka (kepada Guan Eng) adalah berhubung bayaran hasil, iaitu gaji yang dibayar kepada peneroka berdasarkan jualan kelapa sawit.

“Bayaran hasil ini bukanlah sebahagian daripada Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil (BSHPH) ataupun peruntukan khas sebanyak RM77 juta yang diluluskan oleh kerajaan pusat yang telah diagihkan kepada peneroka sebelum ini.

“Bayaran hasil kepada peneroka akan dibayar dengan menggunakan sumber kewangan Felda,” kata lembaga itu dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Felda menjelaskan bahawa bayaran hasil tersebut dahulunya dibuat kepada peneroka dua kali sebulan, iaitu pada pertengahan dan hujung bulan, namun kemudian dipinda kepada bayaran sekali pada hujung bulan.

Semalam, Guan Eng menyatakan beliau sendiri tidak tahu kenapa pengagihan bayaran tunggakan peneroka Felda masih belum diagihkan kepada mereka, sedangkan peruntukan RM77 juta telah pun diluluskan pada 20 Disember lepas.

Tambah Guan Eng, isu tersebut akan dijawab sendiri oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada peneroka ketika lawatannya ke Sungai Koyan minggu ini.

Program Tanam Semula

Dalam kenyataaan sama, Felda menjelaskan seramai 30,799 peneroka telah menerima tuntutan BSHPH pada 31 Disember 2018 dan 4,644 peneroka pula menerima tuntutan pada 14 Januari 2019.

“Semua tuntutan BSHPH telah selesai diagihkan kepada peneroka dan bayaran ini hanya dibuat kepada peneroka yang terlibat bawah Program Tanam Semula.

“Walau bagaimanapun, peneroka di Sungai Koyan, seramai 851 orang, tidak terlibat dengan Program Tanam Semula dan tiada tuntutan BSHPH dibuat oleh mereka,” tambah kenyataan itu lagi.

Felda turut menjelaskan, peruntukan khas RM77 juta yang diluluskan adalah bertujuan untuk BSHPH, bayaran tunggakan bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka dan bayaran khairat kematian kepada 120 waris peneroka.

“Felda sentiasa komited untuk membantu menjaga kebajikan peneroka FELDA dan memastikan industri peladangan sawit maju dan mampan.

“Felda akan memberi pertimbangan yang positif di atas perkara yang dibangkitkan oleh peneroka Felda,” kata keterangan itu lagi.

Lihat Komen