malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis siasat pegawainya didakwa ugut suami isteri
ADS

Polis sedang menyiasat seorang pegawai kanannya yang berpangkat ASP kerana didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap pasangan suami isteri di tepi jalan di Kampung Simee, di Ipoh Isnin lalu.

Menurut sumber pegawai berkenaan yang telah berkhidmat selama kira-kira tiga tahun di sebuah balai polis di Ipoh dan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 29 tahun itu, didakwa telah mencekak leher baju seorang doktor dan cuba memukul isteri lelaki berkenaan yang merupakan seorang peguam.

Katanya, dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, pasangan itu sedang joging di tepi jalan itu sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam lalu di kawasan itu dipercayai dipandu pegawai polis itu secara merbahaya dan hampir melanggar suami isteri itu.

“Pengadu iaitu doktor berusia 34 tahun itu menjerit 'woi' kerana terkejut dan jeritan itu membuatkan pemandu kereta berhenti dan keluar daripada kereta dan terus mencekak leher baju lelaki terbabit dan berulang kali bertanyakan 'you (anda) kenal saya siapa?'.

"Pemandu itu juga memberi amaran akan mencari di mana rumah pasangan terbabit dan menurut mangsa ketika berhadapan dengan pemandu berkenaan, dia tercium bau alkohol serta mengesyaki lelaki itu dalam keadaan mabuk," katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Sumber berkata isteri doktor berkenaan membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit dan ia disedari pemandu itu yang kemudian bertindak meluru ke arah isteri mangsa seperti ingin memukulnya tetapi dapat dihalang doktor berkenaan.

"Doktor berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Simee, di Ipoh pada pukul 7.44 malam hari sama. Hasil semakan video daripada mangsa mendapati pemandu kereta berkenaan adalah seorang pegawai kanan polis yang juga ketua polis balai dan kereta dinaiki didaftar atas nama seorang wanita," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby, ketika dihubungi mengesahkan kes membabitkan ketua polis balai berumur 49 itu siasatan lanjut sedang dijalankan.

- Bernama

Lihat Komen