Pengiklanan

    Yeo: Hak pemilikan SESB akan dikembalikan kepada k’jaan Sabah

    (Dikemaskini )

    Kerajaan Persekutuan komited untuk memulangkan semula hak pemilikan syarikat pembekal elekrik, Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) ,kepada kerajaan negeri Sabah dalam tempoh dua tahun ini, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

    Beliau berkata kerajaan Persekutuan secara prinsip bersetuju proses perbincangan mengenai pemulangan hak pemilikan itu dimulakan segera sebagai langkah mengoptimumkan kedudukan kewangan dan teknikal syarikat utiliti itu.

    Keputusan kerajaan Persekutuan itu disampaikan oleh Yeo kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri itu di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

    Yeo berkata kementeriannya akan mewujudkan dua jawatankuasa khas membabitkan aspek kewangan dasn teknikal bagi membincangkan hak pemilikan semula termasuk penglibatan Kementerian Kewangan peringkat pusat dan negeri.

    “Sepanjang tempoh itu, kerajaan Persekutuan juga memutuskan tiada sebarang perubahan tarif harga bekalan elektrik di negeri ini bagi tahun 2019,” katanya pada sidang media selepas kunjungan tersebut sempena lawatan kerjanya ke Sabah.

    Yeo berkata kementeriannya juga bergantung kepada perbincangan dan persetujuan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sama ada hak pemilikan SESB itu akan turut melibatkan sektor swasta atau sektor awam sahaja.

    Menurutnya, pelan pemulangan hak milik itu tidak bermakna dalam tempoh tersebut kerajaan Persekutuan tidak lagi membuat penambahbaikan bekalan elektrik di Sabah, sebaliknya memberi ruang kepada SESB mempertingkatkan kedudukan kewangan dan teknikal bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat negeri itu.

    Dalam pada itu, Yeo berkata, kementeriannya turut menyarankan kerajaan negeri menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah, yang antara lain akan berperanan merancang dan menguruskan hal-hal berkaitan bekalan elektrik di negeri ini setelah pemilikan hak SESB dipulangkan kepada Sabah.

    “Penubuhan suruhanjaya itu kelak, kerajaan Sabah diberi kepercayaan sepenuhnya dalam mengendalikan isu-isu berkaitan bekalan dan keperluan tenaga di negeri berkenaan, katanya.

    - Bernama