Pengiklanan

    ‘Fungsi, bidang kuasa SPR sah ikut perlembagaan’

    (Dikemaskini )

    Kedudukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini tidak terjejas dari segi perundangan walaupun berlaku kekosongan jawatan anggota-anggota suruhanjaya yang masih belum diisi sehingga hari ini.

    Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata segala tindakan yang dibuat suruhanjaya itu mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga selaras dengan nasihat perundangan Jabatan Peguam Negara pada 28 Dis 2018.

    Menurutnya, Perkara 114(1) dan 114(7) Perlembagaan Persekutuan secara ringkasnya merumuskan fungsi yang dilaksanakan oleh Pengerusi SPR adalah fungsi SPR dan ia wajar dijalankan secara kolektif sekiranya tidak berlaku kekosongan disebabkan oleh kehendak undang-undang.

    "Memandangkan kekosongan enam anggota SPR buat masa ini merupakan kekosongan di bawah perundangan, maka Pengerusi SPR dalam keadaan sedemikian boleh melaksanakan fungsi-fungsi SPR," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua perkara tersebut juga harus dibaca bersama dengan Seksyen 33C Jadual ke-11 Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan bahawa ketiadaan atau kekosongan sesuatu keanggotaan Suruhanjaya tidak akan menjejaskan keputusan yang dibuat pada masa itu.

    Azhar berkata Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes pada 2017 juga telah memutuskan bahawa SPR dibolehkan untuk wujud dan berfungsi secara sah walaupun dalam keadaan kurang daripada tujuh anggota dan berlakunya kekosongan.

    "Dengan ini kuasa dan prosiding SPR secara sahnya tidak terkesan dengan apa-apa bilangan kekosongan yang berlaku," katanya.

    Semalam, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa dilapor mempertikaikan kedudukan SPR yang hanya dikendalikan oleh seorang individu ketika ini iaitu Azhar, sedangkan jawatan lain iaitu timbalan pengerusi dan lima anggota SPR masih kosong.

    Sebelum ini, bekas Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood bersama lima anggota SPR iaitu Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk Leo Chong Cheong dan Datuk Bala Singam Karupiah memutuskan untuk memendekkan tempoh perkhidmatan masing-masing berkuat kuasa 1 Jan lepas.

    Mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima anggota lain.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih