Pengiklanan

    Ceroboh tanah Orang Asli: Putrajaya saman k’jaan Kelantan


    (Dikemaskini )

    Kerajaan Persekutuan atas arahan kabinet hari ini memfailkan saman sivil terhadap kerajaan negeri Kelantan kerana menceroboh tanah Orang Asli Temiar di negeri ini.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, saman itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

    "Buat pertama kalinya di negara ini, kerajaan pusat sedang melaksanakan prosiding undang-undang bagi pihak Orang Asli selaras dengan kewajipan perlembagaan dan undang-undang kerajaan persekutuan untuk melindungi dan mempromosikan kesejahteraan mereka.

    "Walaupun perkara tanah dan perhutanan terletak di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, negara perlu melindungi kebajikan Orang Asli Temiar," katanya dalam satu kenyataan.

    Menurut Thomas, kerajaan negeri Kelantan dan agensinya telah memberikan hak pembalakan di Gua Musang kepada beberapa syarikat swasta tanpa berunding dengan masyarakat Orang Asli Temiar atau menawarkan pampasan kepada mereka.

    Beliau berkata kerajaan Persekutuan memandang serius pencerobohan tanah tersebut.

    "Tindakan mereka menghalang Orang Asli Temiar daripada tanah dan sumber asli mereka, dan menyebabkan hakisan, pencemaran dan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki terhadap ekologi dan landskap Pos Simpor (di Gua Musang)," katanya.

    Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, menamakan kerajaan negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, dan lima syarikat swasta sebagai pihak defendan.

    Ia memohon perintah mahkamah untuk mengiktiraf hak tanah Orang Asli Temiar di Pos Simpor, dan injunksi untuk menghalang syarikat swasta daripada menceroboh dan memusnahkan tanah berkenaan untuk tujuan komersil.

    Putrajaya akan mewakili masyarakat Orang Asli Temiar secara percuma.