malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRK Semenyih: Umno, PAS dah bincang kerja bersama
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM
ADS

PAS dan Umno mengambil langkah pantas dalam perancangan mereka mahu merampas kembali kerusi DUN Semenyih yang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya baru-baru ini.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob memberitahu kepimpinan tertinggi Umno & PAS Selangor sudah mengadakan pertemuan serta berbincang bagi melaksanakan gerak kerja bersama pada PRK nanti.

Kata bekas menteri itu melalui kerjasama di antara partinya dan PAS, beliau yakin mereka mampu mengembalikan kerusi tersebut ke pangkuan Umno.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Ismail Sabri tidak lupa menzahirkan penghargaan Umno kepada PAS.

"Keputusan PAS memberi laluan (kepada Umno) jelas menunjukkan semangat kesetiakawanan serta keikhlasan mereka untuk bekerjasama bagi mempertahankan Islam serta mengangkat martabat bangsa yang kini dihimpit teruk oleh kerajaan PH," katanya.

Pada PRU ke-14 lalu calon PH, Bakhtiar Mohd Nor berjaya merampas kerusi DUN Semenyih yang sebelum ini diwakili BN dengan majoriti 8,964 undi.

Bakhtiar memperoleh 23,428 undi manakala calon BN, Johan Abd Aziz mengumpul 14,464 undi. PAS turut meletakkan calonnya iaitu Mad Shahmidur Mat Kosim.

Seorang lagi calon ialah wakil Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan.

 

Sejak PRU ke-14 berlangsung ada enam PRK sudah atau akan diadakan dengan sebab yang pelbagai, seperti kematian dan peletakan jawatan penyandangnya, tidak termasuk Semenyih.

Daripada jumlah itu PAS hanya bertanding di dua PRK iaitu Seri Setia dan parlimen Port Dickson.

PRK Rantau pula belum ditetapkan tarikhnya kepada SPR sedang menunggu keputusan rayuan dikemukakan agensi itu kepada mahkamah.

Ismail Sabri berkata Umno Selangor juga akan mencadangkan lima hingga enam nama untuk dipertimbangkan sebagai calon dalam PRK Semenyih.

Pengerusi Umno Selangor itu memberitahu keputusan tersebut dibuat semalam, dan kebetulan sama harinya dengan pengumuman PAS untuk memberi laluan kepada BN.

Menurut Ismail Sabri lagi, semua bahagian Umno di Selangor akan digerakkan bagi menghadapi PRK yang akan berlangsung 2 Mac nanti.

“Umno akan mengadakan mesyuarat perhubungan bagi membincangkan penglibatan semua bahagian di Selangor bagi membantu kemenangan calon BN di Semenyih.

“Bahagian Hulu Langat juga diminta bersedia dengan jentera dan persiapan untuk menghadapi PRK kali ini,” katanya.

Menurut Tambahnya lagi, pemilihan akhir calon yang akan bertanding di PRK Semenyih akan diputuskan oleh pengurusan Umno Pusat.

Hari ini SPR menetapkan penamaan calon bagi PRK Semenyih akan diadakan pada 16 Feb dan jika ada pertandingan, hari mengundi pula dilakukan pada 2 Mac.

Tarikh untuk undian awal pula ialah pada 26 Februari.

Lihat Komen