malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan jadikan kes Muhammad Adib bahan kempen pilihan raya - KP Bomba
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM
ADS

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kesal dengan tindakan pihak tertentu menjadikan kes kematian anggotanya Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang sedang berlangsung.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata selain boleh menimbulkan sentimen perkauman, tindakan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan siasatan dan kredibiliti siasatan yang sedang dijalankan.

Katanya semua pihak harus membenarkan proses siasatan dan inkues bagi menyiasat punca kematian Muhammad Adib berlangsung dengan lancar tanpa didahului dengan gambaran negatif melalui kenyataan yang mungkin bercanggah dengan bukti atau hasil siasatan yang telah diperolehi.

"Kita tidak setuju dan tidak mahu ia diungkit menjadi satu sentimen untuk memberi gambaran negatif yang boleh menjejaskan perpaduan serta kredibiliti siasatan oleh pihak berkuasa.

"Tindakan sebegitu juga mempunyai implikasi undang-undang dan yang pasti kita tidak mahu kehilangan nyawa seorang pegawai yang ikhlas dan sejujur Muhammad Adib digunakan untuk kepentingan tertentu oleh mana-mana pihak," katanya mengulas dakwaan ada pihak menggunakan kes itu sebagai bahan kempen pada PRK Parlimen Cameron Highlands.

Bercakap pada sidang media selepas upacara perbarisan tahunan jabatan itu di sini hari ini, Mohamad Hamdan berkata pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan keadilan untuk Muhammad Adib dan keluarganya terpelihara.

Pada majlis itu, Muhammad Adib dianugerahkan Pingat Jasa Bomba yang disampaikan kepada abangnya Mohd Ashraf.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas, dan meninggal dunia semasa menerrima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis.

Sementara itu, Mohamad Hamdan berkata pihaknya menetapkan 2019 sebagai tahun untuk memperhebatkan kempen kesedaran mengenai keselamatan di air berikutan jumlah kematian akibat aktiviti di air pada tahun lepas adalah lebih tinggi daripada kematian berpunca dari kes kebakaran.

Beliau berkata jabatan itu akan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) bagi menjalankan kempen kesedaran selain mengajar teknik menyelamatkan diri menggunakan peralatan yang terhad serta melatih kanak-kanak dengan aktiviti berenang.

-- Bernama

Lihat Komen