malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis Muar buru suspek lelaki buli, cederakan OKU
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM
ADS

Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes membuli dan mencederakan seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) di daerah ini yang tular di laman sosial Facebook hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Idris Rajab berkata suspek berumur 30 tahun itu telah dikenal pasti dan usaha mengesannya kini giat dijalankan.

Beliau berkata pihak polis juga sedang menjejaki mangsa yang berusia 30 tahun dan mendapati mangsa serta suspek adalah penduduk tempatan.

“Setakat ini, laporan mendapati mangsa merupakan pesakit mental dipercayai telah dibuli oleh suspek terbabit dalam kejadian sekitar daerah ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam beberapa video yang tular itu, mangsa yang tidak berbaju dibuli oleh sekumpulan lelaki di sebuah kawasan tapak pembinaan.

Lelaki OKU yang berada dalam ketakutan itu dipukul menggunakan satu objek panjang selain dilihat menyanyi lagu Negaraku dalam keadaan melutut.

-- Bernama

Lihat Komen