malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lim: Pernah kamu nampak PH janjikan jalan, jambatan baru?
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM
ADS

PRK CAMERON l Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menafikan beliau menjanjikan projek pembangunan di Cameron Highlands bagi meraih sokongan untuk pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menjanjikan sebarang bentuk wang atau projek pembangunan spesifik kepada pengundi di kawasan itu.

“Kami berbeza dari Barisan Nasional (BN). Pernah kamu nampak PH menjanjikan jalan atau jambatan baru? Tidak... kami tidak pernah (berjanji)," katanya kepada pemberita di Kementerian Kewangan Putrajaya hari ini selepas mengumumkan pengatur utama bagi terbitan Bon Samurai.

Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dilaporkan telah menggesa Lim supaya memberi penjelasan kepada kenyataan yang didakwa dibuatnya iaitu memberitahu rakyat di Cameron Highlands supaya mengundi Pakatan Harapan jika mereka mahu melihat ada pembangunan.

Lim didakwa oleh sebuah portal berita dalam talian membuat kenyataan itu selepas melawat pasar malam Felda Sungai Koyan pada Rabu.

Lim berkata laporan itu tidak menyeluruh dan di luar konteks.

“Apa yang saya cakap ialah kita perlu ada dua kerajaan (kerajaan negeri BN dan kerajaan pusat PH) untuk memajukan Cameron Highlands bersama-sama," kata beliau.

Lim berkata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai yang terletak di bawah Parlimen Cameron Highlands dan sekiranya Anggota Parlimen dari PH yang dipilih, maka kedua-duanya boleh membangunkan kawasan itu.

“Tetapi jika hanya bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata untuk membawa pembangunan ke Cameron Highlands, ia akan bertemu jalan buntu dan terganggu," katanya.

Dengan Pahang mempunyai hutang yang tinggi iaitu RM3.1 bilion, Lim berkata, “Adakah mereka mempunyai cukup dana untuk melaksanakan pembangunan yang telah mereka janjikan. Sebalik, kerajaan persekutuan berbeza, kami ada kemampuan untuk melaksanakannya."

Lim berkata kerajaan pusat sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan Cameron Highlands.

- Bernama

Lihat Komen