Pengiklanan

    M'sia pilih Mizuho, HSBC & Daiwa sebagai pengatur utama Bon Samurai

    (Dikemaskini )

    Mizuho Bank (Malaysia) Bhd, HSBC Bank Malaysia Bhd and Daiwa Capital Markets Ltd (dengan usaha sama Affin Hwang Investment Bank) dilantik sebagai pengatur utama bersama bagi bon 10 tahun Samurai, membabitkan 200 bilion yen (RM7.6 bilion).

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pengumuman di Perbendaharaan berkata pelantikan itu dibuat selepas enam daripada 27 permohonan yang diterima oleh Kementerian Kewangan, disenarai pendek.

    "Kami yakin ketiga-tiganya merupakan institusi terbaik yang memiliki pengalaman, kepakaran dan keyakinan mereka ke atas ekonomi Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan kepada wakil pengantur bersama bon Samurai berkenaan.

    Lim berkata Japan Bank of International Cooperation (JBIC) akan menjamin bon berkenaan, sebagai sebahagian daripada aturan kerajaan-dengan-kerajaan.

    “Ini akan membolehkan kerajaan Malaysia membayar semula kadar koupon inklusif dan indikatif kurang daripada 0.65 peratus setahun, termasuk fi jaminan.

    “Bon ini dijangka diterbitkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kami berharap terbitan bon ini dapat dilakukan secepat mungkin selepas lawatan saya untuk menemui pelabur berkaitan, di Tokyo bulan depan,” katanya.

    Lim berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkannya, dalam kapasiti sebagai menteri kewangan, untuk mengurus keseluruhan terbitan berkenaan dan mengetuai delegasi Malaysia ke Tokyo.

    “Terbitan bon Samurai ini membuktikan keyakinan kerajaan Jepun terhadap kepimpinan Dr Mahathir dan menandakan hubungan rapat antara kedua-dua negara,” katanya.

    Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jepun yang menawarkan jaminan ke atas bon serta Duta Besar Jepun Dr Makio Miyagawa, atas bantain dan sumbangan bermakna beliau dalam memastikan proses rundingan itu berjalan lancar.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada November tahun lepas, Lim mengumumkan kerajaan Jepun menawarkan jaminan ke atas terbitan bon Samurai 200 bilion yen dengan tempoh 10 tahun.

    Bon Samurai ialah bon yang diterbitkan dalam yen di Tokyo oleh syarikat atau entiti bukan Jepun dan tertakluk kepada peraturan Jepun.

    Bon Samurai kali terakhir diterbitkan pada 1989.

    Ditanya sama ada kerajaan Malaysia sedang menimbang untuk menerbitkan satu lagi bon Samurai, Lim berkata kerajaan Jepun bermurah hati untuk menawarkan satu bahagian lagi.

    “Kami mahu (terbitan pertama) berjaya, dan selepas itu akan mengkaji bahagian kedua dan ketiga,” katanya.

    Ditanya sama ada Nomura Holdings Inc merupakan antara calon pengatur utama, Lim berkata syarikat pegangan kewangan Jepun itu merupakan antara calon, namun menafikan syarikat itu digugurkan disebabkan oleh laporan yang dikeluarkan oleh Nomura Global Research.

    “Kami memilih pengatur utama berasaskan merit, yang terbaik dan dapat memberikan harga yang menarik,” katanya.

    Minggu lepas, Nomura Global Research berkata defisit fiskal 2018 Malaysia akan merosot kepada 3.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    Lim bagaimanapun berkata laporan itu tidak benar dan berkata kerajaan yakin mencatat defisit fiskal 3.7 peratus dan 3.4 peratus KDNK pada 2018 dan 2019.

    — Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih