malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Sekumpulan doktor perubatan yang juga pakar pemulihan dadah menyambut baik kenyataan Menteri Undang-undang Liew Vui Keong yang bersetuju untuk menangani masalah penggunaan dadah berdasarkan pendekatan kesihatan sosial.

Pengerusi Gabungan Reformasi Pencegahan dan Rawatan Penagihan Dadah (Reformasi Dadah), Dr Mohamad Sallehin Abu Bakar berkata ia satu langkah ke hadapan.

"Menteri mencadangkan (masalah penagihan) untuk diselia oleh Kementerian Kesihatan dan bukan lagi ditangani melalui sistem pengadilan jenayah.

"Alhamdulillah. Ini satu rahmat dan kenyataan ini sangat hebat.

"Ini satu langkah ke hadapan. Jadi bila masalah kesihatan, sepatutnya doktorlah (yang menyelia kesihatan penagih)," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Pinda undang-undang dadah

Bagaimanapun, pakar psikiatri Prof Dr Mohamad Hussain Habil berkata kenyataan menteri undang-undang itu memerlukan perubahan polisi dan kerajaan perlu meminda Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Cuma kita hendak kenyataan itu dapat dipanjangkan sehingga kepada pindaan polisi. Dan juga rawatan penagihan (diletakkan) di bawah Kementerian Kesihatan.

"Jadi sepatutnya ditangani doktor dan bukan pegawai polis," katanya yang turut hadir dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Najis boleh buat baja

Beliau yang juga bekas presiden Asean Federation of Psychiatry and Mental Health telah berkecimpung dalam bidang pemulihan dadah sejak penghujung tahun 1970-an lagi berkata dasar menangani masalah penagihan dadah selama ini telah gagal.

"Najis pun ada gunanya, boleh buat baja," katanya berseloroh ketika menjawab soalan wartawan mengenai dasar memerangi 'najis' dadah.

Dr Hussain yang bertanggungjawab merangka pendekatan psikologi Islam bagi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata program rawatan dan pemulihan gagal menyelesaikan masalah penagihan dadah kerana ia dikendalikan pihak yang tidak berkelayakan dalam bidang tersebut.

"Rawatan (penagih) sekarang ini yang sepatutnya diberikan (untuk dikendalikan) oleh para doktor dan pakar yang telah menjalani latihan untuk rawatan itu tapi tidak diberi keutamaan.

"Dan rawatan sekarang ini diberi (untuk dikendalikan) kepada mereka yang tidak berkelayakan. Jadi macam mana?

"Dalam ilmu manapun, kalau kita bagi mereka yang tidak berkelayakan untuk merawat akan berlakulah masalah," katanya.

Menurut Dr Hussain, ketika undang-undang dadah digubal pada 1952 dan dipinda bagi memasukkan hukuman mandatori pada 1983, "keadaannya relevan pada masa itu, tetapi kini telah menjadi kuno (archaic)."

"Pertama meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 supaya lebih relevan kepada cara mana kita nak memasukkan unsur kesihatan.

"Dan kita cadangkan supaya KDN hanya menjurus kepada penangkapan mereka yang mengedar dan jenayah tetapi proses rawatan dan juga apa jua prosedur perlu dikeluarkan daripada (bidang kuasa) KDN dan dimasukkan kepada Kementerian Kesihatan," katanya yang merupakan ahli Lembaga Pengarah Fakulti Perubatan Universiti Mahsa.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (Umcas), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid pula membangkitkan kesan sosial akibat dasar memenjarakan penagih dadah ini.

"Ini adalah isu sosial yang kita sendiri cipta sebenarnya. Kita tangkap orang dan kita tidak jaga anak-anak dan isteri mereka.

"Banyak isu sosial akan timbul dan ini memburukkan lagi keadaan," jelasnya.

Gabungan Reformasi Pencegahan dan Rawatan Penagihan Dadah adalah sebuah badan bukan kerajaan yang terdiri daripada pelbagai pakar-pakar dan bertanggungjawab dalam membantu masalah ketagihan dadah.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Maziah Yaacob yang turut bersama dalam Gabungan Reformasi Dadah berkata kumpulan tersebut terdiri daripada doktor perubatan, pakar psikiatrik, peguam dan penyelidik, malahan pengarah kesihatan negeri juga.

"Pegawai kerajaan pun ada dalam kumpulan ini. Pengarah jabatan-jabatan kesihatan pun ada.

"Dalam kumpulan kami ini, malah ada pengarah jabatan kesihatan negeri pun bersama-sama dengan kami," kata Dr Maziah.

Tambah Dr Maziah, gabungan itu akan menganjurkan satu Persidangan Kesihatan Mental dan Ketagihan pada 25 hingga 27 Januari ini, dengan kerjasama Universiti Mahsa, Umcas dan Perdim di Kuala Lumpur.

Persidangan ini akan menampilkan pembentangan pakar-pakar mengenai isu kesihatan mental secara amnya, masalah ketagihan dan polisi dadah negara.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen