malaysiakini logo
story-image
ADS

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan badan pengendali pilihan raya itu sedikit pun tidak terkesan dengan kekosongan keanggotaan pesuruhjayanya.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam jadual ke 11 item 33C, apa-apa badan atau suruhanjaya bawah undang-undang tidak terkesan dengan kekosongan yang berlaku.

“Itu peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bukan undang-undang biasa dan kita telah mengambil keputusan untuk mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Semenyih, di Putrajaya hari ini.

Azhar berkata demikian mengulas pihak yang mempersoalkan kelayakan SPR mengeluarkan writ pilihan raya untuk kerusi DUN Semenyih.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa dalam sidang media di Tanah Rata, Cameron Highlands hari ini mempertikaikan sama ada kewujudan Suruhanjaya SPR adalah sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, suruhanjaya itu ketika ini hanya dikendalikan oleh seorang individu iaitu pengerusinya.

Ini selepas timbalan pengerusi dan lima anggota pesuruhjaya lain meletak jawatan pada 31 Disember tahun lalu.

Menurutnya, bawah Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.

Mengulas lanjut, Azhar menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan yang juga secara spesifik memutuskan bahawa SPR tidak terkesan dengan apa-apa kekosongan keanggotaannya.

“Terdapat keputusan Mahkamah Rayuan yang juga secara spesifik memutuskan bahawa SPR tidak terkesan dengan apa-apa kekosongan keanggotaan

“Jadi, itu merupakan garis panduan kita dan adalah agak terang SPR tidak terkesan dari segi perundangan,”tegasnya.

Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung, pada 11 Januari lalu.

Lihat Komen