Pengiklanan

    SPR: Terima kasih kerana timbulkan isu duit dalam PRK


    (Dikemaskini )

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin isu pemberian wang kepada sukarelawan Orang Asli yang tular baru-baru ini telah ditangani oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.

    “Sepanjang PRK Cameron Highlands saya perhatikan dan teliti terdapat beberapa isu seperti gambar yang tular baru-baru ini dalam isu pemberian wang kepada sesetengah pihak oleh sesetengah parti.

    “Tetapi perkara itu telah dibuat laporan SPRM dan SPRM telah menjalankan siasatan dan mungkin SPRM dalam proses siasatan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, di Putrajaya hari ini.

    Azhar berkata demikian mengulas isu salah laku calon PRK Cameron Highlands.

    Gambar menunjukkan beberapa individu memakai baju dengan logo Pakatan Harapan (PH) didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands tular di sosial media sejak Ahad lepas.

    Pemimpin PH termasuk calon gabungan itu di Cameron Highlands M Manogaran, berkata wang tersebut dibayar sebagai ‘duit minyak’ sukarelawanmereka.

    Para pemimpin kerajaan berpendapat bahawa ini tidak melanggar undang-undang pilihan raya.

    Sementara itu, Azhar berterima kasih kepada pihak awam atas keprihatinan mereka mengenai undang-undang kesalahan pilihan raya.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak awam dan parti politik yang menimbulkan perkara ini dan mengambil inisiatif untuk membuat laporan kepada SPRM.

    “Nampaknya kita semakin prihatin dan berminat dengan peraturan pilihan raya mengenai undang-undang kesalahan pilihan raya.

    “Ini merupakan satu kemajuan dalam proses pilihan raya kita dan saya harap ia akan diteruskan untuk menjamin proses pilihan raya yang adil dan bersih di masa-masa akan datang,” katanya.

    PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH M Manogaran, BN yang meletakkan bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor serta dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih