Pengiklanan

    PAS puji PM kerana haramkan atlet Israel masuk M'sia

    (Dikemaskini )

    PAS hari ini memuji Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang bertegas menyekat kemasukan atlet Israel ke negara ini.

    Presidennya Hadi Awang berkata langkah itu sangat tepat dan selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara haram Israel dan warganya dalam sebarang acara bertaraf antarabangsa dan tempatan.

    “Tindakan kerajaan untuk memboikot dan mengasingkan Israel adalah usaha paling minimum yang boleh diambil sebagai signal menentang dan menolak kezaliman regim Zionis Israel yang tidak berperi kemanusian, dan wajar dikutuk oleh setiap negara yang bertamadun,” katanya.

    Mahathir pada 10 Januari lalu menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

    Malah kata Mahathir Malaysia juga bersedia jika penganjur menarik balik hak penganjuran kejohanan tersebut jika mereka tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan.

    Dalam kenyataan hari ini, Hadi berkata PAS telah dan akan terus menggerakkan usaha untuk mengembalikan kebebasan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis.

    Beliau juga pemimpin negara umat Islam untuk menunjukkan ketegasan yang sama seperti Malaysia.