malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Umno minta SPR kaji tempoh mengundi PRK Cameron Highlands
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM
ADS

PRK CAMERON l Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengkaji semula tempoh masa mengundi di sesetengah Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Jan nanti.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu perlu memandangkan keadaan muka bumi Cameron Highlands selain terdapat PDM terutama di pos Orang Asli yang bukan sahaja jauh, malah sukar dilalui.

Beliau berkata terdapat keseluruhan 29 PDM di Cameron Highlands, namun daripada jumlah itu hanya empat sahaja yang dibuka sehingga 5.30 petang iaitu di Lembah Bertam, Ringlet, Tanah Rata dan Berinchang.

"Selain daripada itu, ada PDM yang ditutup antara pukul 1 tengah hari hingga 3 petang.

"Kenapa kawasan yang jauh contohnya Pos Lemoi tamat mengundi 1 tengah hari, Pos Telanok pukul 3 petang. Mereka ini ada hanya beberapa jam sahaja untuk dibawa keluar mengundi. Medang misalnya perlukan perahu untuk keluar mengundi," katanya pada sidang media di Tanah Rata, hari ini.

Annuar berkata SPR perlu melihat perkara itu dengan sewajarnya kerana ia melibatkan hak rakyat untuk mengundi dan memilih wakil mereka.

Selain itu, Annuar mempersoalkan tindakan SPR yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana suruhanjaya itu ketika ini hanya digerakkan seorang individu iaitu Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun.

Menurutnya, peletakan jawatan Timbalan Pengerusi dan lima orang anggota lain pada 31 Dis lepas menjadikan SPR dianggap tidak beroperasi atau tidak wujud di sisi Perlembagaan.

"Ini kerana SPR, seperti mana di bawah Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, hendaklah terdiri daripada tujuh anggota iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima orang anggota atau sekurang-kurangnya empat anggota," katanya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Manogaran, Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional dan dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee.

- Bernama

Lihat Komen