malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gobind nafi guna isu telekomunikasi berkempen di PRK
ADS

PRK CAMERON HIGHLANDS | Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menafikan tanggapan yang melihat usaha kerajaan mempertingkatkan perkhidmatan jalur lebar di Cameron Highlands sebagai mengambil kesempatan sempena pilihan raya kecil (PRK) bagi parlimen itu 26 Jan ini.

Jelas Gobind, tindakan yang diambil pihaknya berhubung masalah liputan komunikasi tidak terhad di Cameron Highlands sahaja dan sebaliknya di seluruh negara.

"Ini adalah usaha-usaha yang kita ambil untuk mempertingkatkan perkhidmatan jalur lebar dan juga infra di seluruh Malaysia.

"Bukan saja kawasan ini (Cameron Highlands), tapi seluruh kawasan apabila (terdapat) aduan.

"Memang SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan turun ke situ dan akan melaksanakan apa yang mereka boleh untuk menyelesaikan masalah itu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melawat penduduk di pasar pagi Kuala Medang bersama calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran hari ini.

Pada 14 Januari lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith membuat lawatan di perkampungan Orang Asli Pos Betau ketika beliau mendengar rungutan penduduknya mengenai liputan telekomunikasi di situ.

Susulan itu, Eddin Syazlee berkata mesyuarat bersama SKMM dan Telekom Malaysia akan diadakan pada 18 Januari bagi membincangkan isu berkenaan.

Diminta mengulas lanjut tanggapan pihak lawan bahawa PH menggunakan jentera kerajaan bagi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands ini, Gobind menegaskan bahawa pihaknya hanya mengambil tindakan berdasarkan aduan yang diperoleh.

"Saya lihat perkara ini dari sudut terdapatnya aduan. Jadi jika terdapat aduan, aduan tersebut akan dibuat kepada agensi (yang tertentu) bukan (terus) kepada saya.

"Dan tentunya agensi akan ambil tindakan. Saya serahkannya kepada pihak agensi," katanya.

Terdahulu, ketika lawatan di pasar pagi itu, rombongan PH bertembung dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang ketika itu sedang berkempen BN, Ramli Mohd Nor.

Tuan Ibrahim memaklumkan bahawa PAS akan menurunkan 700 hingga 800 jentera bagi membantu kempen Ramli.

Mengulas perkara itu, calon PH M Manogaran mengakui sokongan PAS dalam membantu berkempen bagi calon BN memberikan cabaran terhadapnya.

"Memang kita tahu PAS akan bantu BN. Itu adalah satu cabaran untuk kita (PH) dan akan ada kesan kepada pengundi-pengundi khususnya pada (pengundi) Jelai. Ada cabaran," katanya kepada pemberita.

Lihat Komen