malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Bagitahu PH, tunai janji PRU sebelum buat janji di PRK
ADS

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyindir Pakatan Harapan (PH) dan mengingatkan gabungan itu agar menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebelum menabur janji bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

"Saya tengok janji manifesto pun tentunya tak boleh buat. Kemudian mereka (PH) turun untuk janji semula kalau (supaya) rakyat boleh terima apa dia janji.

"Sedangkan apa dia buat dalam manifesto (PRU ke-14) yang bertulis pun dia tak boleh tunai. Ini satu benda yang peliklah.

"Sebab itu kalau mereka datang berjanji dulu, bagitahu dia (PH) tunai janji-janji manifesto dulu sebelum janji baru kepada rakyat di Cameron Highlands," katanya kepada pemberita ketika melawat penduduk di pasar pagi Kuala Medang, Jelai hari ini.

Terdahulu, dalam lawatan di pasar pagi itu, Tuan Ibrahim bertembung dengan rombongan calon PH Manogaran.

Turut serta dalam rombongan PH itu ialah Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut memaklumkan bahawa PAS yang akan membantu BN dalam PRK tersebut akan membawa 700 hingga 800 jentera untuk berkempen menyokong calon BN, Ramli Mohd Nor.

Menggesa pengundi PAS mengundi BN, Tuan Ibrahim berkata ia bagi menambah jumlah wakil rakyat dari parti pembangkang di parlimen sekiranya Ramli menang.

"DAP dah besar (banyak jumlah wakil rakyat). Jadi tak ada keperluan untuk tambah wakil dia di parlimen.

"Kita fokus di kedua-dua (DUN di Cameron Highlands) walaupun kita banyak fokus di Jelai berbanding Tanah Rata. Tapi jentera kita akan turun juga di Tanah Rata," katanya.

Jelai merupakan salah satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Cameron Highlands yang mempunyai 12,543 pengundi yang terdiri daripada 64 peratus Melayu, 1 peratus Cina, 1 peratus India dan 34 peratus lain-lain.

Mengulas mengenai peratusan mengundi yang seringkali menyaksikan penurunan sejak empat PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, ahli Parlimen Kubang Kerian itu tidak menolak kemungkinan bahawa peratusan keluar mengundi PRK kali ini tidak seperti 9 Mei lalu.

"Kita harap pengundi-pengundi PAS, penyokong PAS turun beramai-ramai walaupun PAS tak bertanding tapi undi kita untuk menyekat lawan kita dan kita kena tunjukkan solidariti kita.

"Walaupun saya yakin jumlah pengundi yang akan keluar berbanding PRU akan merosot sedikit, sebagai pengundi luar mungkin rasa payah nak balik.

"Tapi kita harap, kita merayu pada kali ni supaya peratusan keluar mengundi tu lebih tinggi daripada yang biasa (dalam) PRK. Walaupun terpaksa korban duit dan sebagainya tapi kita rayu agar pulang mengundi," katanya.

Lihat Komen