Pengiklanan

    PRK Semenyih: Undi 2 Mac, penamaan calon 16 Feb


    (Dikemaskini )

    Suruhanjaya Piihan Raya (SPR) hari ini menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih akan diadakan pada 2 Mac 2019.

    Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata hari penamaan calon pula akan diadakan pada 16 Febuari manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.

    "Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 1 Mac 2019," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Semenyih, di Putrajaya hari ini.

    Azhar berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah sehingga suku ketiga 2018 yang mengandungi 54,503 pemilih berdaftar terdiri daripada 53,520 pengundi biasa, pengundi awal (951), pengundi tidak hadir luar negara (32).

    "Bagi PRK ini, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi," katanya.

    Menurut Azhar, bagi menjalankan proses PRK ini, SPR telah bersetuju melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mohd Sayuthi Bakar dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan akan dibantu empat Penolong Pegawai Pengurus.

    “SPR juga bersetuju menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau perjalanan kempen PRK berkenaan, yang dianggotai wakil dari pihak polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil calon bertanding dan pegawai SPR,” katanya.

    Manakala Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi pilihan PRK Semenyih SPR akan menggunakan Dewan Seri Cempaka MPKj, Saujana Impian, Kajang.

    "Seramai 992 petugas dilantik bagi membantu proses pengendalian PRK Dun Semenyih dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.8 juta," katanya.

    Dalam pada itu, Azhar berkata mana-mana badan atau individu yang berminat untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya Kecil itui boleh mengemukakan permohonan kepada SPR sebelum 31 Januari.

    Bagi menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, Azhar berkata SPR akan melaksanakan kempen 'Jom Kita Undi' melalui pelbagai saluran media.

    Katanya, SPR turut akan meneruskan beberapa penambahbaikan antaranya dengan menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi berumur 60 tahun ke atas di setiap pusat pengundi.

    "SPR juga akan menambah pusat mengundi dan saluran mengundi bagi PRK Semenyih di mana satu pusat mengundi dan 31 saluran baru diwujudkan bagi menggelakan jumlah pengundi terlalu ramai.

    "Selain itu SPR akan meneruskan bagi memanjangkan masa pengundian dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya.

    PRK Semenyih diadakan ekoran kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung, pada 11 Januari 2019.

    Bakhtiar Mohd Noor, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menjadi wakil rakyat di Semenyih selama lapan bulan selepas mengalahkan penyandang kerusi, Johan Abd Aziz, daripada BN pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 Mei tahun lalu dengan majoriti 8,964 undi.

    Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.