malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shamsul: Peneroka Felda tanggung kesan pentadbiran lama
ADS

PRK CAMERON | Kerugian yang ditanggung peneroka Felda kesan pentadbiran BN yang tidak mengurus dengan baik dan menyeleweng tidak akan berlanjutan, kata pemimpin PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin memberikan jaminannya.

"Apa yang berlaku kepada mereka sekarang adalah kesan daripada parti yang lama (BN) yang tidak mengurus dengan baik, penyelewengan,rompakan terhadap Felda dan sebagainya.

"Maka, kerajaan sekarang terpaksa memulihkan. Pemulihan ini akan mengambil masa sedikit, tetapi saya yakin ianya akan berjalan dengan baik kerana kita mempunyai pengalaman, tokoh-tokoh yang cukup berpengalaman membantu berkeseriusan kerajaan PH untuk memulihkan Felda," ujarnya.

Justeru, Shamsul yang juga anggota parlimen Hang Tuah Jaya menggesa pengundi Felda dari kawasan parlimen Cameron Highlands supaya mengundi calon PH bagi menjamin masa depan yang cerah.

"Kita buat seruan kepada peneroka Felda supaya mempertimbangkan apa yang Kerajaan PH lakukan kepada peneroka untuk membantu memulihkan Felda secara keseluruhan. Dan apabila pemulihan itu dibuat, maka kita akan menyaksikan keuntungan kepada peneroka.

"Misalnya, saya ambil contoh apabila saja Felda Global Venture (FGV) mengumumkan pelan penstrukturan, itu menimbulkan keyakinan yang kita menyaksikan saham FGV itu berlaku peningkatan. Jadi, ia tentunya memberikan manfaat kepada peneroka Felda. Dan ini akan berlaku kalau kerajaan terus diberi keyakinan," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Shamsul yang juga timbalan menteri industri utama sokongan peneroka Felda kepada PH pada PRK Cameron Highlands, akan memberi keyakinan kepada pelabur.

Harga sawit naik

"Bagi saya, pengundi Felda khususnya dari kawasan DUN Jelai penting untuk kemenangan PH. Kerana keyakinan yang ditunjukkan oleh rakyat terhadap PH, maka para pelabur akan lebih yakin dan memberikan peluang yang cerah kepada kerajaan untuk membina atau memajukan sektor perladangan terutamanya di kawasan Felda ini," jelas beliau.

Beliau turut mengambil harga sawit sebagai contoh, berdasarkan tiga atau empat bulan yang lalu harga sawit jatuh RM1,600 setan. Namun, kini mencecah RM2,000.

"Harganya, sekarang dalam kadar RM2063 hingga RM2,100. Dan ini satu perkembangan yang cukup positif. Ini sudah pasti akan memberi keutungan kepada peneroka," tegasnya.

Pilihan raya semula diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan C. Sivarraajh daripada BN pada PRU14 bagi parlimen itu terbatal dan tidak sah.

PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH dan BN serta dua calon bebas.

PH meletakkan calon Manogaran, 60, yang juga timbalan pengerusi DAP Pahang, manakala BN pula mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis Mohd Ramli Nor, 61. Sementara itu, bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40, masing-masing bertanding sebagai calon Bebas.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi, menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS/3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa/81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM/ 680 undi).

Untuk rekod, Jelai merupakan salah sebuah kawasan DUN daripada dua di bawah kerusi parlimen Cameron Highlands yang dikenali sebagai kubu kuat BN kerana merangkumi pengundi Orang Asal dan Melayu.

Satu lagi lagi kawasan DUN adalah Tanah Rata yang dililhat sebagai kawasan 'kegemaran' PH.

 

Lihat Komen