BERITA

'Goldman Sachs patut pikul tanggungjawab gagal jaga 1MDB'

Geraldine Tong

17 Jan 2019, 8:15 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata Goldman Sachs sepatutnya mengambil tanggungjawab jika ia gagal menjaga kepentingan 1MDB.

"Kita meletakkan satu sistem dan ia wujud untuk menjaga kepentingan kita.

"Jadi jika mereka gagal, mereka patut mengambil tanggungjawab kerana mereka dilantik dan dibayar oleh 1MDB untuk menjaga kepentingan kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Kampung Raja di Cameron Highlands hari ini.

Ia susulan permohonan maaf Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon terhadap rakyat Malaysia di atas peranan bekas pegawainya Tim Leissner dalam skandal 1MDB.

Solomon bagaimanapun berkata pihaknya telah melakukan urusan sewajarnya (due dilligence) sebelum setiap transaksi.

Bank pelaburan itu kini sedang disiasat pihak berkuasa Malaysia dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) atas peranannya sebagai penaja jamin dan pengatur tiga jualan bon yang meraih AS$6.5 bilion untuk 1MDB.

Leissner adalah satu daripada dua bekas pegawai bank itu yang didakwa di Amerika tahun lalu di atas penglibatan dalam skandal 1MDB.

Beliau mengaku bersalah berkomplot untuk mengubah wang haram, serta mencabuli Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing Amerika Syarikat dengan memberi rasuah kepada pegawai Malaysia dan Abu Dhabi dan memintas kawalan kewangan dalaman di Goldman Sachs.

Seorang lagi pegawai bank itu yang didakwa ialah Roger Ng, yang kini dipenjara di Malaysia sementara menunggu prosiding ekstradisi oleh Amerika Syarikat.

Najib dahulu menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB. Menurut perlembagaan syarikat itu, beliau mempunyai kuasa penuh dalam beberapa keputusan eksekutif penting syarikat itu.

Selepas BN tewas dalam PRU ke-14, Najib beberapa kali dibawa ke mahkamah untuk berdepan sejumlah dakwaan jenayah berkaitan 1MDB.