malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cyprus minat jadi pengimport minyak sawit Johor - MB
Diterbitkan:  Jan 17, 2019 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM
ADS

Cyprus berminat untuk menjadi pengimport minyak kelapa sawit dari negeri ini, sekali gus menjadi pengedar bahan berkenaan kepada negara di sekitar Mediterranean.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkaat, hasrat itu disuarakan Cyprus ketika kunjungan beliau ke negara berkenaan baru-baru ini, termasuk kesediaan menyediakan tenaga pakar.

“Cyprus memberi sokongan untuk menjadi pengimport minyak sawit, sanggup menjadi pengedar kepada negara berdekatan, termasuk Greece dan Turki,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Festival Islam & Halal Antarabangsa Johor Darul Ta’zim 2019, di sini hari ini.

Osman berkata, perbincangan dengan dua syarikat berkaitan kerajaan negeri, iaitu Johor Corporation (JCorp) dan YPJ Holdings Sdn Bhd, yang memiliki ladang kelapa sawit sudah diadakan beberapa hari lepas bagi menjayakan matlamat terbabit.

“Cyprus merupakan negara maju dan ekonominya kukuh. Sebanyak 98 peratus penduduknya juga Islam dan negara itu memberi kerjasama kepada kita. Mereka sanggup menyediakan kepakaran dan selain itu akan menghasilkan produk hiliran lain menerusi kelapa sawit seperti sabun dan bahan makanan,” katanya.

Mengenai festival yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, pada 28 Mac hingga 31 Mac itu Osman berkata, ia merupakan platform terbaik untuk pengeluar industri halal Malaysia mempromosi dan menggalakkan pasaran pengguna halal yang luas sama ada di dalam atau luar negara.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memastikan Johor dapat bersaing dengan negara besar seperti China, Korea Selatan dan Jepun yang sedang giat merencana strategi mengembangkan produk halal mereka ke negara lain.

“Kita perlu mengorak langkah membangunkan Johor sebagai pelopor sektor halal di Malaysia secara besar-besaran, setiap pergerakan tidak lagi bersifat optimum malah perlu diberikan anjakan lebih maksimum,” katanya.

Osman percaya kerajaan negeri melalui Perbadanan Usahawan Negeri Johor berupaya menghasilkan pelbagai produk halal seperti makanan, barangan penjagaan kesihatan dan kosmetik untuk dieksport.

-- BERNAMA

Lihat Komen